Peserta projek pembangunan NCR tidak puas hati

0

BINTULU: Para peserta projek pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Sungai Tanyil, Sungai Mejau dan Sungai Sangan Tatau melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah (LCDA) melantik kontraktor lain bagi kerja-kerja pengambilan kayu di tanah milik mereka.

Menurut Tuai Rumah Gerosen Jubin, sebelum ini LCDA telah memberi kebenaran kepada Ikrar Pelita Sdn Bhd melakukan kerja-kerja pembersihan tapak ladang dan pengambilan kayu di tanah milik penduduk, namun perkara sebaliknya berlaku pada masa sekarang kerana kontraktor lain dilantik bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.

Beliau yang juga merupakan pengerusi protem Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (ADC) Sungai Tanyil/Mejau/Sangan berkata, apa yang penduduk mahukan, segala kerja pembersihan dan pengambilan kayu di tanah milik penduduk hingga kerja-kerja penanaman kelapa sawit hendaklah dilakukan oleh Ikrar Pelita dan bukan kontraktor lain.

“Semua ini bagi memudahkan segala urusan kerana dikendalikan oleh satu pihak sahaja dan bukannya dikendalikan oleh banyak pihak bagi mengelak berlakunya pertikaian sama ada antara pemilik tanah atau pemaju,” katanya pada mesyuarat antara pemilik tanah dan ADC di Pejabat Daerah Tatau, di sini.

Sambil menyifatkan bantahan berkenaan bukan bertujuan  menghalang projek pembangunan tanah NCR, Gerosen berkata semuanya bagi menjaga kebajikan pemaju dan pemilik tanah yang mana pihak luar tidak patut ambil alih dalam urusan pembangunan tanah yang diamanahkan kepada Ikrar Pelita ini.

Katanya, penduduk di kawasan Sangan menyambut baik usaha pembangunan tanah NCR milik penduduk dengan perladangan kelapa sawit berskala besar kerana memberi manfaat besar kepada peserta terlibat.

“Cuma apa yang kami (ADC) dan peserta inginkan ialah segala kerja pembersihan dan pengambilan kayu hinggalah ke peringkat penanaman kelapa sawit dijalankan oleh Ikrar Pelita dan bukannya pihak lain,” ujarnya.

Semua ini katanya, bagi memudahkan urusan pembangunan tanah di kawasan terbabit tanpa mendapat penglibatan banyak pihak yang akhirnya menjurus kepada pertelingkahan.

Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Tatau Peleadzman Ahip.