Pelajar Bumiputera cemerlang diberi manfaat pendidikan

0

REBUT PELUANG: Entulu pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat PRS di Kuching, semalam.

Antaranya manfaat mendapatkan biasiswa melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahupun di luar negeri
KUCHING: Pelajar Bumiputera cemerlang khasnya dari kawasan luar bandar negeri ini disarankan untuk mengemukakan nama kepada pihak berkaitan supaya tidak ketinggalan untuk menikmati manfaat pendidikan disediakan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, antaranya manfaat dari segi mendapatkan biasiswa melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

Beliau berkata berdasarkan data statistik yang ada, Sabah dan Sarawak didapati masih mempunyai banyak peruntukan dalam kuota yang ditetapkan bagi mengisi manfaat itu termasuk Biasiswa Ijazah Luar Negeri dan Ijazah Dalam Negeri.

“Kita mahu pelajar-pelajar Bumiputera iaitu mereka dari luar bandar yang cemerlang dan berkelayakan menghubungi serta tampil kepada pihak berkaitan termasuk Biro Pendidikan Parti Rakyat Sarawak (PRS) 30 atau pertubuhan bukan kerajaan berasaskan Dayak.

“PRS telah menubuhkan biro ini yang akan meneliti dengan serius mengenai perkara berkenaan dan antara mereka yang berada dalam biro ini adalah Yang Berhormat Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong dan Lydia Dundun (ketua biro),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat PRS di sini, semalam.

Tambah timbalan presiden PRS itu, misalnya bagi program Ijazah Luar Negeri, sepatutnya Sabah dan Sarawak diperuntukkan 10 peratus daripada 2,000 biasiswa yang disediakan setiap tahun iaitu sekurang-kurangnya 200 kuota.

Beliau menegaskan daripada jumlah kuota yang ditetapkan bagaimanapun hanya 110 daripadanya diisi pada 2008 di mana 90 lagi tidak diisi manakala bagi program Ijazah Dalam Negeri sebanyak 1,000 kekosongan khas untuk Sabah dan Sarawak setiap tahun.

“Bagaimanapun pada 2008 menyaksikan hanya 479 sahaja yang diisi yang bermakna kita masih ada lebih 500 tidak diambil, pada 2009 hanya 402 sahaja diisi dan sekali lagi lebih 500 masih tinggal,” katanya.

Malahan daripada jumlah itu ujarnya, ia menunjukkan juga kekurangan pengisian daripada pelajar luar bandar yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa yang disediakan kerajaan.

“Adalah amat menyedihkan kita kehilangan daripada peluang ini, di mana masih ada kekosongan yang boleh kita gunakan tetapi tidak diisi,” kata Entulu.

Kerajaan jelasnya sentiasa menyediakan dasar yang sama rata termasuk dari segi pendidikan kepada semua golongan, malah kabinet persekutuan telah meluluskan Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa antara lain bertujuan membincangkan pelaksanaan dasar dan prestasi pembangunan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak serta membuat keputusan mengenai polisi-polisi berkaitan masyarakat itu.

Sehubungan itu Presiden PRS Tan Sri James Masing menyuarakan kebimbangan berhubung kuota tahunan bagi biasiswa pendidikan tempatan dan luar negeri untuk pelajar cemerlang di Sarawak yang sentiasa tidak pernah diisi sepenuhnya.

Beliau berkata, peluang yang begitu baik sebenarnya disediakan setiap tahun untuk pelajar cemerlang bagaimanapun kuota itu tidak diisi sepenuhnya.

“Kita ada peluang untuk meningkatkan prestasi pelajar Sarawak dalam pendidikan sama ada menerusi biasiswa tempatan atau luar negara tetapi masalahnya ialah kita selalu kekurangan (pelajar),” katanya.