Anggota kontinjen perarakan hari jadi TYT harus berkumpul awal

0

KUCHING: Kesemua anggota 92 kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin diingatkan agar berkumpul lebih awal pada 14 September ini (esok).

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan para peserta perarakan agar berkumpul awal dan menepati masa untuk mengelak kesesakan lalu lintas pada hari tersebut,” kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh ketika ditemui pada raptai penuh di Stadium Negeri, di sini semalam.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan perasaan gembira dengan majlis raptai penuh perarakan yang berjalan lancar itu.

“Walaupun tidak semua peserta perarakan hadir pada hari ini, saya tetap nampak kesungguhan dan semangat peserta yang lain pada raptai perarakan ini,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat.

Wong, bagaimanapun melahirkan rasa bersyukur atas kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah pada upacara raptai penuh bagi menyaksikan sendiri sesi latihan tersebut.

Beliau menambah, perarakan itu akan tetap dijalankan seperti biasa pada hari sebenar sambutan dan berharap agar keadaan cuaca pada hari tersebut mengizinkan.

Pada masa sama, Wong turut menjelaskan beberapa program utama yang berjalan selepas sambutan tersebut antaranya ialah Majlis Istiadat Pengurniaan dan Makan Malam di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) lama dan Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Yayasan Sarawak pada 19 September ini.