Kes pecah rumah: Polis tangkap dua lelaki asing

0

ROBERT (tengah) bersama pegawai penyiasatnya sedang menunjukkan barang-barang yang dirampas dari kedua-dua suspek.

KENINGAU: Polis menangkap dua lelaki rakyat asing yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan pejabat di daerah ini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David, berkata kedua-dua lelaki terbabit yang masing-masing berusia 28 dan 38 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis turut merampas sembilan komputer riba, 15 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah pemain DVD daripada kedua-dua suspek berkenaan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pada 7 September kira-kira jam 3 petang bertempat di sebuah pasar mini bebas di pekan Keningau, sepasukan anggota polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah di sini telah menangkap seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah.

“Hasil soal siasat terhadap suspek itu, pada hari yang sama bertempat di bilik sewa bersebelahan dengan sebuah karaoke, polis telah menangkap seorang lagi suspek dan merampas empat laptop, sebuah radio, sebuah permainan DVD dan lapan telefon bimbit yang disyaki barang curi.

“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Robert memberitahu kedua-dua suspek ditahan reman dan saisatan polis mendapati mereka juga telah mendedahkan beberapa lokasi kejadian tempat pecah rumah yang mereka lakukan sebelum ini.

Bertindak atas siasatan awal itu katanya, polis berjaya menemui lapan buah komputer riba dan tujuh telefon bimbit yang telah dijual kepada beberapa individu.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit dengan kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan kesalahan kedua dikenakan denda.

Menurut Robert, setakat ini polis telah berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah dan pejabat yang berlaku di daerah ini.

“Pada masa sama, saya juga meminta orang ramai di daerah ini agar tidak membeli barang-barang berjenama yang dijual dengan harga yang murah,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi satu kesalahan jenayah bagi seseorang membeli dan memiliki barang curi, yang boleh membawa hukuman penjara atau denda.

Robert juga meminta orang ramai yang pernah kecurian barang supaya melaporkan perkara itu kepada pihak polis.