Malaysia kekang jenayah menerusi undang-undang, dasar: Wakil ke PBB

0

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengambil langkah perlu dan akan terus berusaha memastikan jenayah kekejaman tidak berlaku di dalam lingkungan sempadannya.

Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Datuk Hussein Hanif berkata perkara itu dapat dilihat menerusi undang-undang dan polisinya.

“Konsep 1Malaysia contohnya, adalah berdasarkan kepercayaan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya. Kami saling meraikan perayaan masing-masing, selain membenarkan pembinaan rumah ibadat pelbagai agama serta mempunyai sekolah Melayu, Cina dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Dialog Interaktif pada Perhimpunan Agung PBB mengenai ‘Responsibility To Protect’ (R2P), di New York pada Rabu. Kenyataan beliau dihantar kepada Bernama di sini semalam.

Hussein menegaskan bagi memastikan semua kaum diberi peluang bersuara dalam mentadbir negara, kerajaan yang dibentuk adalah gabungan pelbagai parti politik yang mewakili kumpulan etnik utama.

“Kami komited untuk mempertahan dan melindungi hak asasi manusia seperti yang dicerminkan menerusi pemansuhan dan pindaan pelbagai undang-undang.

“Malah kami juga terbabit secara aktif dalam menyokong usaha keamanan di negara-negara jiran,” katanya.

Kata Hussein, Malaysia pada dasarnya mengalu-alukan niat murni R2P terutama dalam memastikan tragedi dahsyat seperti di Rwanda, Srebrenica dan Kosovo tidak berulang.

Namun, tatkala masyarakat antarabangsa bersetuju akan perlunya jenayah kekejaman beramai-ramai dikekang, beliau berkata banyak persoalan timbul mengenai aplikasi dan pelaksanaan R2P.

“Dalam hal ini kami berpandangan amat perlu semua negara anggota diberi peluang berbincang secara tulus untuk menangani kebimbangan yang berbangkit,” katanya. — Bernama