Manfaatkan industri berasas pengetahuan: PM

0

KUALA LUMPUR: Malaysia mesti meningkatkan usaha untuk menjadi negara maju pada 2020 dengan memanfaatkan industri berasaskan pengetahuan dan Kewangan Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan bersetuju dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Japun-Malaysia (JACTIM) bahawa untuk Malaysia meningkat ke fasa pembangunan seterusnya ia perlu mewujudkan ekonomi seimbang dan maju.

“Industri berteknologi tinggi berasaskan pengetahuan akan memain peranan penting dalam transformasi dan pertumbuhan pada masa akan datang,” katanya pada sambutan Ulang Tahun ke-30 JACTIM semalam.

Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd, Duta Besar Jepun di Malaysia Shigeru Nakamura dan Presiden JACTIM Masato Nakamura.

Najib bagaimanapun berkata negara tidak boleh mengetepikan perniagaan kecil dan sederhana yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Perdana Menteri yang bersetuju dengan pendapat JACTIM bahawa Malaysia perlu mengambil kesempatan ke atas industri baharu dan pesat berkembang seperti sektor perkhidmatan.

“Malaysia sudah memanfaatkan pasaran Sukuk yang semakin meningkat, dan kini menjadi pasaran Sukuk terbesar di dunia,” kata Najib.

Beliau berkata negara ini juga berkembang dalam bidang pertumbuhan baharu, seperti pasaran Halal manakala Tun Razak Exchange baharu akan membantu mengubah Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan serantau.

Perdana Menteri juga berharap Jepun terus memain peranan penting dalam ekonomi Malaysia, dan lebih banyak syarikat Jepun beroperasi dalam negara.

Najib berkata beliau menunggu untuk bertukar-tukar idea dan pengetahuan dengan kesinambungan kerjasama, perdagangan dan pelaburan yang lebih tinggi.

“Ketika kita meraikan ulang tahun JACTIM, yang mencerminkan hubungan antara kedua-dua negara, saya berharap JACTIM dan Jepun terus memain peranan utama dalam pembangunan Malaysia untuk tempoh 30 tahun akan datang dan melepasinya,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyuarakan pandangan beliau bagaimana prestasi Malaysia pada dekat akan datang menerusi kapsul masa.

Najib disertai Dr Mahathir, Shigeru Nakamura dan Masato Nakamura menjawab empat soalan mengenai unjuran beliau mengenai ekonomi dan penduduk, pertumbuhan dan sukan di Malaysia.

Kagum terhadap kapsul masa itu, Najib berkata beliau tertanya-tanya sejauh mana Malaysia akan berubah dalam tempoh 10 tahun akan datang. — Bernama