Warga Sri Lanka terjatuh sungai dikhuatiri lemas

0

SIBU: Seorang lelaki warganegara Sri Lanka dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika mengikat tali kapal tongkang di Logpond Camp, Nanga Amang, Kapit awal pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Pradep Kumar berumur 20-an dikatakan terjatuh ketika kapal tongkang yang membawa muatan kayu balak dari Nanga Putai itu berlabuh di Nanga Amang pada kira-kira jam 4.45 pagi.

Menurut laporan, jurugan kapal tongkang yang menyaksikan kejadian mengatakan mangsa sedang mengikat tali kapal tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Difahamkan mangsa tidak pandai berenang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan selepas dimaklumkan oleh pihak Balai Polis Daerah Kapit sekitar jam 11 pagi semalam.

Jurucakap bomba memberitahu, tiga anggota penyelamat dan seorang ketua operasi yang dikerah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bertolak ke Nanga Amang pada jam 11.19 pagi.

Pasukan SAR tiba di lokasi kejadian pada jam 12.10 tengah hari, namun usaha mencari mangsa belum berhasil.

Operasi SAR ditangguhkan pada jam 4.05 petang kerana keadaan air yang deras serta dipenuhi kayu hanyut.

Operasi dijangka akan disambung semula pada jam 8 pagi hari ini.