Peniaga dipenjara tiga tahun enam bulan culik dan kurung peguam

0

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga barangan terpakai dipenjara tiga tahun enam bulan setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan dalam kes menculik dan mengurung seorang peguam membabitkan wang tebusan RM150,000 tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan Mohd Fahmy Mohd Daud, 39, menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkapan iaitu pada 23 Nov 2012.

Sebelum ini, Mohd Fahmy bersama empat tertuduh lain mengaku tidak bersalah menculik Jason Leong Wai Meng, 36, di hadapan sebuah restoran di Jalan Mutiara, Sentul, pada 12 Mei 2012.

Kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan penjara seumur hidup, jika disabitkan. —  Bernama