Jangan abai bukan Bumiputera

0

Dato Sri Wong Soon Ko

KUCHING: Kerajaan diingatkan agar tidak mengabaikan kaum lain ketika memfokus kepada usaha memperkasakan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi negara.

Menteri Kanan merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Ko berkata, tidak semua bukan Bumiputera mempunyai penguasaan yang baik dalam sektor ekonomi negara dan ia jelas dapat dilihat dengan kewujudan ramai  golongan miskin bandar terdiri daripada masyakat Cina dan India.

“Ketika kerajaan memfokus kepada Bumiputera, tumpuan dan perhatian juga harus diberikan kepada kaum lain kerana tidak semua bukan Bumiputera menikmati kehidupan selesa.

“Kerajaan juga tidak boleh mengetepikan kaum lain dan mesti bersikap adil sesuai dengan gagasan 1Malaysia diperjuangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri selama ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan memperkasakan ekonomi Bumiputera menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti bagaimanapun percaya usaha Najib itu adalah bertujuan membantu golongan kurang maju dalam sektor ekonomi supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negara.

Beliau turut menolak dakwaan mengatakan tindakan kerajaan itu berbaur rasis sebaliknya ia bertujuan membantu golongan kurang maju dalam sektor ekonomi.

“Saya juga percaya ia akan memberi kesan positif secara tidak langsung kepada bukan Bumiputera dan PM tidak akan mengabaikan kaum lain,” ujarnya.

Najib dalam pengumumannya kelmarin berkata MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) bagi melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.