Kristoffer tawar diri jadi calon kerusi DUN Pelagus

0

RASMI: Kristoffer (tiga kanan) memotong reben menyempurnakan perasmian Pondok Sihat Rumah Kiong, Sungai Anggau di Kapit kelmarin sambil disaksikan tetamu lain.

KAPIT: Siapa bakal calon daripada kalangan ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mampu merampas kembali kerusi DUN Pelagus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mungkin masih menjadi tanda tanya.

Namun bagi seorang ahli perniagaan tempatan yang tidak asing lagi, Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, beliau sudah bersedia awal-awal lagi menawarkan diri untuk dicalonkan oleh partinya (PRS) di kerusi terbabit.

Bagi ramai peramal politik tempatan mengatakan bahawa Kristoffer mungkin calon yang sesuai dan berpotensi diberi peluang sekiranya PRS mahu merampas kembali kerusi berkenaan.

Sikap beliau yang tidak sombong, pemurah dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa mengira kaum atau kedudukan seseorang, mungkin menjadi faktor yang mendorong beliau menawarkan diri bertanding di DUN Pelagus nanti.

Pada Sabtu lalu, beliau merupakan tetamu kehormat merasmikan Pondok Sihat Rumah Kiong, Sungai Anggau, sebuah Kampung Sejahtera Jabatan Kesihatan di bawah Program NCDP 1Malaysia Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Kristoffer menjelaskan bahawa beliau sering melakukan lawatan ke beberapa kawasan di DUN Pelagus selama ini sebagai persediaan awal kemungkinan berdepan dengan calon-calon pembangkang pada PRN akan datang.

“Bagi saya, sesiapa sahaja yang akan dipilih sebagai calon parti (PRS) untuk merampas kembali kerusi Pelagus daripada pembangkang bukan satu masalah, yang penting calon berkenaan boleh menang.

“Justeru, saya mengajak semua ahli PRS serta para pengundi di Pelagus agar memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih oleh parti serta mewakili BN pada pilihan raya DUN akan datang,” ujarnya.

Pada TDC PRS yang bakal berlangsung di Sibu pada 19 dan 20 September ini, Kristoffer merupakan salah seorang calon bagi Majlis Tertinggi di kalangan 46 calon yang bakal merebut 15 jawatan ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan.

Mengenai Program Penyakit Tidak Berjangkit (NCDP – Non Communicable Disease Programme) yang dianjurkan di Rumah Kiong oleh Jabatan Kesihatan, Kristoffer memberitahu bahawa kesihatan diri adalah amat penting terutama bagi yang telah meningkat usia.

“Dalam usia kita semakin meningkat, kita harus menjaga kesihatan serta pemakanan bagi menghindar daripada penyakit-penyakit seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya,” katanya.

Turut berucap wakil Pegawai Kesihatan Daniel John daripada  Unit Program NCD Jabatan Kesihatan dan Tuai Rumah Kiong.

Pada majlis sama, Kristoffer mengumumkan sumbangan RM3,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Kiong bagi menjalankan aktivitinya.

Hadir sama Penyelia KEMAS DUN Baleh Linggi Maseng serta 20 tuai rumah dari kawasan berdekatan serta para penyokong PRS.