Lagi mandat kepada Taib

0

PBB Muara Tuang mahu beliau kekal sebagai presiden PBB

KOTA SAMARAHAN: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Muara Tuang sebulat suara mahu Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kekal sebagai presiden PBB.

Ketua PBB Cawangan Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud berkata, ia penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang dinamik dan mengekalkan keunggulan PBB dalam menerajui Sarawak.

“Kita memberi sokongan penuh agar Yang Amat Berhormat Ketua Menteri (Taib) kekal sebagai yang dipertua (presiden) PBB Negeri  dengan menang tanpa bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan usul semasa Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Muara Tuang Sesi 2013-2016 yang dipengerusikan oleh bekas ADUN Nangka Datuk Awang Beemee Awang Ali Basah di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam.

Selain jawatan presiden, PBB Cawangan Muara Tuang juga mahu dua jawatan timbalan presiden dan semua naib presiden dikekalkan tanpa bertanding.

Dalam mesyuarat perwakilan itu, Mohammad Ali kekal sebagai ketua PBB Cawangan Muara Tuang Sesi 2013-2016 selepas tiada tentangan untuk merebut jawatan itu.

“Kita perlu mengimbau kembali sejarah penubuhan PBB daripada sebuah parti kecil dahulunya mempunyai lima kerusi DUN tetapi selepas genap 50 tahun, PBB kini mempunyai 35 kerusi daripada 71 kerusi DUN.

“Ia semua hasil semangat perpaduan juga hasil kejituan pucuk kepimpinan di bawah Pehin Sri (Abdul Taib Mahmud) yang telah berjaya mengekalkan semangat perpaduan dalam parti ini,” tambah Mohammad Ali lagi.

Malah menurutnya, Taib juga telah berjaya mentransformasikan pembangunan fizikal di negeri ini di bawah politik pembangunan yang diilhamkan oleh beliau sendiri sebagai landasan untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri termaju di Malaysia.

“Kekuatan PBB terletak kepada semangat berkorban bersatu… jelas perpaduan dan semangat berkorban bersatu inilah menjadi tulang belakang dalam PBB dalam menghadapi pergolakan politik dari dahulu hingga kini,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua perwakilan Muara tuang agar sentiasa mengekalkan semangat perpaduan dalam meneruskan politik pembangunan untuk kesejahteraan rakyat di Samarahan ini khasnya dan Sarawak amnya.

Timbalan ketua PBB Cawangan Muara Tuang juga kekal disandang Hamzah Brahim selepas menang tanpa bertanding.

Sementara itu, tiga jawatan naib ketua PBB Cawangan Muara Tuang yang disandang oleh Jemat Abak, Zakiah Basah dan Sarkawi Suhaili sebelum ini juga dikekalkan.

Manakala jawatan ketua Wanita dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Muara Tuang juga kekal disandang Zakiah Basah dan Sarkawi Suhaili.

Selain itu, Mohammad Ali dalam ucapannya turut mengumumkan Ahli Parlimen Kota Samarahan dilantik secara tidak langsung sebagai penasihat PBB Cawangan Muara Tuang.

Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Muara Tuang itu semalam dirasmikan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut ditemani Setiausaha Agung PBB Datuk Stephen Rundi, Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Datuk Julaihi Narawi dan ADUN Lambir Ripin Lamat.