Pasukan CIM johan Bola Sepak Tujuh Sebelah SPDP Semop

0

JOHAN: Pasukan CIM muncul johan Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah anjuran SPDP Semop bersama Sabran (berdiri dua kiri) di Bintangor.

BINTANGOR: Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah anjuran Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Semop menyaksikan sebanyak 21 buah pasukan berentap memburu kejuaraan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Stras, Bintangor.

Kejohanan dua hari itu menyaksikan pasukan CIM membuktikan keunggulan mereka apabila muncul juara.

Naib juara milik pasukan Babai FC, manakala ketiga pasukan Lasi FC.

Pengerusi Pengelola, Sabran Yahya berkata kejohanan itu adalah untuk membantu pihak sekolah, SK Nanga Stras mengutip dana membantu murid-murid tahun enam yang bakal mengadakan lawatan ke Kuching selepas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.

“Hasil kejohanan tersebut, kita berjaya mengutip dana berjumlah RM800 dan semua kutipan kita dermakan kepada pihak sekolah.

“Usaha ini merupakan salah satu cara kita menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Kita berharap aktiviti serupa akan kita teruskan, asalkan mendapat sokongan padu daripada semua pihak,” jelas Sabran yang juga Pengerusi SPDP Cawangan Semop.

Menurutnya, pihak SPDP Semop juga mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Liew Ah Leh dan Ahli Majlis SPDP, Ambrose Jarau yang turut menghulurkan sumbangan menjayakan aktiviti itu.