Peranan Astro martabatkan sukan tempatan harus mendapat pujian

0

KUCHING: Peranan Astro dalam memartabatkan arena sukan tempatan harus mendapat pujian serta dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat lain di seluruh negara.

Ini jelas dilihat menerusi beberapa inisiatif yang telah mereka laksanakan dalam usaha membangunkan sukan di peringkat akar umbi hingga ke tahap antarabangsa.

Terbaharu, Astro telah melancarkan Kem Badminton Astro 2013 yang bertujuan mencari seramai 30 pemain remaja berusia 10-12 tahun untuk dibawa menjalani latihan di Tokyo, Jepun.

Program edisi kedua itu diperluaskan ke enam buah negeri melibatkan Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur.

Bercakap selepas perasmian tersebut di Kompleks Sukan MBMB-MSN Melaka kelmarin, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata Astro akan meneruskan program pembangunan sukan yang juga salah satu dari cabang utama tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Kami di Astro sangat komited dalam memartabatkan sukan tempatan dan juga menyemai semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia.

“Kami juga meletakkan komitmen yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta amat berbesar hati kerana dapat menyumbang dalam usaha membantu memajukan lagi sukan tempatan dan para atlet kebangsaan.

” katanya.

Jelas Henry, Astro turut mengenal pasti beberapa sukan lain yang berpotensi untuk dikembangkan seperti sepak takraw dan boling.

“Selain badminton, Astro turut terlibat dalam pembangunan sukan bola sepak di mana kita dalam proses memilih beberapa pemain remaja dari seluruh negara untuk dibawa menjalani latihan khas di Cardiff City menerusi projek ‘1MCC – Astro Kem Bola Sepak’.

“Sudah tentu setiap program yang kita laksanakan memerlukan kos yang tinggi namun ia bukan persoalan kerana yang penting hasrat kita untuk menyemai budaya sihat di kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, saya menyeru kepada masyarakat agar turut serta dalam program sukan yang kita laksanakan dan tidak hanya menjadi penonton,” tambahnya.

Menurut Henry, Astro juga satu-satunya syarikat penyiaran di rantau ini yang membantu membangunkan arena sukan menerusi penyediaan saluran penuh sukan tempatan.