KUCHING: Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata keputusan kerajaan memperkasakan ekonomi Bumiputera di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bukan prejudis terhadap kaum lain.
Sebaliknya beliau menegaskan bahawa langkah dan strategi baharu kerajaan itu satu tindakan yang adil ke atas rakyat jelata supaya hasil negara dan negeri dapat dibahagikan sama rata seterusnya mewujudkan situasi yang akan memberi keamanan dan kestabilan negara.
“Ini adalah satu kenyataan dan anjakan berani dan besar kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Tindakan ini amat tepat sekali kerana kaum Bumiputera amat perlu dibantu dan patut dibantu.
“Saya ada semasa PM menyampaikan pengumuman itu dan secara peribadi saya menyambut baik serta menyokong deklarasi PM terutama menggariskan lima strategi untuk mengurangkan jurang antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dengan memfokus kepada lima strategi memperkasakan ekonomi Bumiputera,” katanya sebagai mengulas usaha kerajaan itu.
Mohd Naroden yang Menteri Muda Perancangan Sumber, berkata kerajaan memang patut membantu Bumiputera melalui bidang ekonomi memandangkan kaum itu merupakan golongan majoriti di negara ini tetapi masih ketinggalan dalam bidang berkenaan.
Kaum Bumiputera katanya, yang kuat berdiri menyokong kerajaan BN harus dibantu dan ini secara tidak langsung memperkukuhkan ekonomi bukan Bumiputera sebagai pekerja dalam pasaran dan akhirnya menyokong ekonomi negeri serta negara.
“Walaupun jumlah kaum Bumiputera bertambah dalam sektor perniagaan tetapi bukan Bumiputera semakin jauh ke hadapan.
“Ini berlaku kerana bukan sahaja kaum bukan Bumiputera lebih mengetahui segala peluang yang ada tapi mendapat sokongan daripada rakan peniaga mereka sendiri selain memiliki budaya perniagaan kuat,” ujarnya.
Beliau menambah situasi itu juga berlaku disebabkan kaum bukan Bumiputera bijak mengambil peluang daripada suasana ekonomi kondusif diwujudkan kerajaan BN selama ini yang jelas mesra perniagaan.
Justeru katanya, kerajaan harus dan patut melakukan anjakan drastik demi melonjakkan Bumiputera ke tahap yang tidak jauh ketinggalan daripada bukan Bumiputera khususnya di Sarawak.