Site Last Updated 11:51 am, Thursday

Sesi latihan uji bakat Kem Badminton Astro diperluas

Posted on September 16, 2013, Monday

KEM BADMINTON: Saravanan (tengah), Henry (dua kanan) bersama-sama sebahagaian peserta Kem Badminton Astro di Melaka kelmarin.

KUCHING: Sebagai tanda sokongan terhadap sukan tempatan, Astro akan meluaskan sesi latihan uji bakat Kem Badminton Astro ke enam buah negeri iaitu Melaka, Pahang, Sarawak, Sabah, Penang dan Kuala Lumpur bermula dari 14 September hingga 20 Oktober depan.

Program kerjasama Kementerian Pendidikan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dianjurkan oleh Astro Kasih iaitu sebuah badan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Astro dengan kerjasama Persatuan Badminton Nippon (PBN).

Ia merupakan program pembangunan belia bertujuan mengenal pasti kanakkanak berbakat berumur 10 hingga 12 tahun selain memupuk teknik bermain badminton di kalangan mereka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan bersama Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan hadir merasmikan sesi latihan uji bakat pertama di Kompleks Sukan MBMBMSN, Melaka kelmarin.

Beliau yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merakamkan tahniah kepada Astro atas komitmen padu yang diberikan kepada sukan tempatan dan menganjurkan satu lagi inisiatif CSR yang patut dicontohi melalui Astro Kasih.

Jelasnya, Astro sentiasa mengambil peranan aktif dalam pembangunan serta peningkatan sukan dan olahraga Malaysia, sama ada tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya yakin dengan penganjuran Kem Badminton Astro, lebih ramai bakat muda akan dapat ditemui lantas dipupuk dengan latihan serta teknik-teknik yang betul dan penting dalam melahirkan jaguh sukan pada masa hadapan.

“Saya ingin menyeru syarikat- syarikat di Malaysia agar memainkan peranan lebih besar dalam menyokong sukan tempatan kerana hanya melalui usaha bersepadu seperti ini, kita dapat membina dan mengukuhkan industri sukan tempatan secara keseluruhan sekali gus membawa semangat kesukanan sihat di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Seramai 30 orang peserta terpilih berpeluang merasai pengalaman menjalani latihan intensif selama dua minggu pada Disember ini di bawah bimbingan barisan jurulatih dari PBN di Pusat Latihan Nasional Ajinomoto Tokyo.

Semasa sesi latihan di Jepun, para peserta turut berpeluang menentang pasukan Kanto Junior Team Jepun pada perlawanan persahabatan yang pastinya akan menguji dan meningkatkan kemahiran badminton mereka.

Kem seterusnya akan diteruskan di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan (21 September), Arena Sukan Simpang Tiga, Kuching (28 September), Dewan Badminton Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu (5 Oktober), Dewan Badminton PBA, Penang (12 Oktober) dan Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras (19 Oktober).

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.