Ahli perniagaan rugi RM100,000

0

PENAMPANG: Seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM100,000 setelah pelbagai barangan berharga termasuk Toyota Vigo miliknya dilarikan penjenayah dalam kejadian rompak di Taman Millenium Height, Jalan Bundusan pagi kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian antara jam 2 dan 6 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun itu langsung tidak menyedari insiden berkenaan kerana sedang tidur di kediaman itu. Bagaimanapun, dia terkejut dengan keadaan rumah yang berselerak kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Ketika melakukan pemeriksaan, mangsa mendapati dua telefon bimbit jenis Samsung, tiga jam tangan berjenama, buku cek dan sejumlah wang tunai RM13,000 telah hilang dan dipercayai dilarikan oleh penjenayah yang memecah masuk rumah terbabit.

Lebih mengejutkan, mangsa juga mendapati pacuan empat roda jenis Toyota Vigonya turut dilarikan oleh suspek dalam kejadian itu.

Mangsa bagaimanapun telah melakukan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang terlibat adalah lebih daripada seorang individu dan polis sedang melakukan operasi menjejaki serta mengesan suspek,” katanya sambil menambah, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.