Site Last Updated 8:12 am, Thursday

Belia Bumiputera disaran ubah corak pemikiran

Posted on September 17, 2013, Tuesday

KUALA LUMPUR: Belia Bumiputera perlu mengubah sikap untuk sentiasa mempertingkat kemahiran walaupun mempunyai kelulusan bagi memastikan mereka sentiasa berdaya saing dalam pasaran buruh global.

Seorang ahli akademi berpendapat untuk itu, mereka perlu agresif menyertai usaha kerajaan mendaya modal insan Bumiputera di bawah usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata selain itu, remaja yang pencapaian akademiknya rendah juga perlu tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan daya saing mereka dalam bidang pekerjaan dengan turut menyertai program ‘re-skilling’ yang akan dipergiatkan kerajaan di bawah program GIATMARA.

“Ini dapat dilihat apabila peruntukan tambahan akan diberikan kepada GIATMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi tinggi selain bilangan program latihan yang dikendalikan Institusi Kemahiran Belia Negara akan ditambah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata kalangan berkelulusan tinggi pula perlu merebut peluang menyertai program pendidikan lepasan ijazah yang ditawarkan supaya mereka dapat menerokai bidang baharu yang dapat menjana pendapatan lebih tinggi, sekali gus mengukuhkan ekonomi kaum Bumiputera.

Ahmad Fauzi berkata usaha kerajaan melahirkan lebih banyak bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi dalam bidang profesional bukan saja mampu memacu ekonomi negara tetapi juga mengangkat kedudukan kaum Bumiputera di mata dunia.

Yang Dipertua Pertubuhan Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Irwan Rizal Mohd Ali pula berpendapat pengusaha industri berteknologi tinggi perlu turut membantu kerajaan dalam memberi latihan dan peluang kepada belia Bumiputera melibatkan diri dalam bidang itu.

Katanya siswazah Bumiputera yang mengganggur seharusnya tidak memilih pekerjaan memandangkan terdapat pelbagai kekosongan dalam industri pekerjaan.

“Contoh dalam industri perkhidmatan pelanggan dan pusat perhubungan terdapat 40,000 kekosongan sehingga tahun depan, dan mereka perlu menerokai bidang itu kerana melaluinya pelbagai peluang lain dapat diterokai,” katanya.

Mengenai Skim Latihan 1Malaysia, Irwan berkata program itu perlu difokuskan kepada golongan belia secara umum dan bukan hanya kepada golongan siswazah kerana belia biasa amat memerlukan lebih perhatian berbanding dengan siswazah Bumiputera yang menganggur.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mengadakan pertemuan khusus dengan golongan ini bagi memberi mereka peluang mengutarakan pandangan tentang pelbagai skim yang diwujudkan supaya dapat dimanfaatkan.

Di Kota Baharu, Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) Mohd Faizal Daud berkata usaha kerajaan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera dapat mempergiatkan lagi pembangunan usahawan muda.

Ini terutamanya berkaitan skim pembiayaan kepada kalangan usahawan untuk menubuhkan syarikat sendiri yang wajar diberi pujian, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain membantu siswazah yang baru tamat belajar menceburi bidang perniagaan, pengumuman itu mampu merangsang para pelajar untuk memulakan perniagaan mereka sendiri sejurus tamat pembelajaran mereka.

Skim pembiayaan baharu iaitu skim permulaan ‘Entrepreneur’ Baharu Bumiputera (SUPERB) akan membantu syarikat permulaan menerusi dana sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun.

SUPERB menyediakan kemudahan geran sehingga RM500,000 kepada usahawan baharu yang kreatif dan inovatif dalam bidang strategik dan mempunyai potensi masa hadapan yang besar.

Ia bertujuan mewujudkan Komuniti Baharu Usahawan Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko dalam bidang baharu berasaskan pengetahuan seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.