Polis Marin rampas petrol, bot laju dianggar bernilai hampir RM17,000

0

Seorang anggota Polis Marin memeriksa 22 gelen minyak petrol yang dirampas.

SANDAKAN: Polis Marin Sandakan berjaya merampas 22 gelen minyak petrol bersama bot laju yang dianggarkan kesemuanya bernilai hampir RM17 ribu dalam insiden di Sungai Batu 3, malam Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Muhamad Madun berkata semasa menjalankan rondaan Ops Pensura di Perairan Batu 3 pada jam 10.48 malam pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu.

Semasa pemantauan dibuat di perairan itu, polis marin terlihat sebuah bot laju yang mencurigakan dan sarat dengan muatan bergerak keluar dari Sungai Batu 3. Apabila dihampiri, bot laju terbabit telah bertindak memecut walaupun telah diarahkan berhenti oleh pihaknya.

“Ketika dikejar oleh Polis Marin, bot laju berkenaan telah hilang kawalan dan terkandas di perumahan Kampung Tinusa Dua,” katanya sambil menambah, juragan bot laju berkenaan bertindak terjun dan tidak dapat dikesan.

Muhamad berkata selepas membuat pemeriksaan pihaknya menjumpai 22 gelen berisi minyak petrol bersubsidi berada dalam bot laju itu.

Pihaknya telah membawa balik bot laju bersama barang rampasan ke Markas Operasi Pasukan Marin Sandakan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menganggarkan barang rampasan termasuk 22 gelen berisi minyak petrol, sebuah bot dan enjin Yamaha 75HP terbabit bernilai RM16,914.

Muhamad meminta kerjasama orang awam agar menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan, pencerobohan dan jenayah di perairan ke talian 089-221423, 221424 atau 221453.