222 motosikal disita dalam Ops Lumba Haram

0

Antara beberapa buah motosikal yang disita sepanjang Ops Lumba Haram.

LAHAD DATU: Sebanyak 222 buah motosikal disita sepanjang Ops Lumba Haram yang dilancarkan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik bermula dari bulan Januari sehingga Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat berkata sebanyak 3,323 keping saman turut dikeluarkan ke atas penunggang dan pembonceng melibatkan pelbagai kesalahan lalulintas yang dikesan oleh pihaknya.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan dan dikenalpasti adalah seperti tidak memiliki lesen memandu, menunggang tanpa menggunakan topi keledar keselamatan, cukai jalan tamat tempoh, tidak memasang plat nombor dan pengubahsuaian terhadap motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, kelmarin.

Menurut beliau, sepanjang bulan Ogos sahaja, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 363 keping saman, namun daripada 222 buah motosikal yang telah disita itu, sebanyak 180 buah telah dituntut semula oleh pemilik masing-masing.

Shamsudin berkata, Ops Lumba Haram itu dilaksanakan ekoran terdapat aduan masyarakat setempat yang merasakan diri mereka kurang selamat semasa memandu atau menunggang di atas jalan raya terutamanya dengan kebanjiran ‘mat-mat motor’ pada malam hujung minggu.

“Berdasarkan pemantauan semasa yang pihak kita lakukan semenjak Ops Lumba Haram dilancarkan, saya mendapati wujud pengurangan dalam penglibatan mat-mat motor terutamanya di sepanjang laluan Jalan Lahad Datu-Silam.

“Pada malam-malam sebelumnya, kita dapat melihat para penunggang motosikal ini sering berkumpul di sepanjang laluan berkenaan serta ada diantaranya turut melakukan beberapa aksi berbahaya dan berlumba haram,” katanya.

Beliau berkata operasi itu turut dibantu oleh SSPDRM, JPAM, JPJ dan Rela yang diketuai oleh Insp Ali Husin Sahina selaku Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Daerah dan Ketua Sukarelawan Polis Daerah (KSPD), Insp Mohd Abdul Rahman Ramzan.

Sehubungan itu, Shamsudin memperingatkan para penunggang dan pembonceng motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengelakkan diri mereka dikenakan tindakan undang-undang.