Ahmad Ayid, wira yang tak dicanang

0

KOTA KINABALU: Dalam perjuangan kemerdekaan dan pembangunan dalam lipatan sejarah Sabah, terdapat ramai tokoh di sebalik tabir yang turut berjasa tetapi tidak dicanang.

Antaranya ialah Allahyarham Datuk Seri Ahmad Ayid yang meninggal dunia pada usia 87 tahun Jumaat lepas.

Mungkin ramai yang tidak mengenali Allahyarham Ahmad Ayid. Beliau adalah seorang tokoh yang telah banyak memberikan jasa bakti termasuk penglibatannya dalam memperjuangkan kemerdekaan Sabah.

Ahmad Ayid yang dilahirkan pada 3 Februari 1926 di daerah Sandakan juga memainkan peranan amat penting dalam rentetan se-jarah pembangunan sosial dan politik di negeri ini.

“Ayah saya sentiasa ‘low profile’ dalam banyak perkara. Sebenarnya, ayah saya pernah terlibat dalam penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

“Ayah saya bersama-sama enam orang yang lain dike-tuai Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun telah mewakili parti politik USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) bagi menghadiri perjumpaan dengan Cobbold Commission,” kata anaknya Datuk Jainab, yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, kepada Bernama, di sini semalam.

Suruhanjaya Cobbold di-bentuk oleh kerajaan Bri-tish dan Malaya atau Tanah Melayu pada tahun 1962 untuk memungut dan menentukan pandangan rakyat Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Sarawak sama ada menyokong cadangan bagi pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Singapura, Borneo Utara, dan Sarawak.

Jainab yang masih bersedih dengan pemergian ayahnya enam hari lepas, berkata semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada 1963, ayahnya telah meng-ikuti latihan ketenteraan dan dilantik sebagai ‘leftenan’ bagi Pasukan Pertahanan Awam dan dipertanggungjawabkan mengawal tempat penting seperti pelabuhan, pos dan air.

Ahmad Ayid menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Tawau pada 1935 hingga tahun 1940 dalam darjah 5. Apabila Tentera Jepun menduduki Borneo pada 1941, beliau mempelajari bahasa Jepun dan berjaya menguasai bahasa itu dengan cemerlang.

Selepas perang tamat, beliau menghadiri kelas malam khusus untuk mendalami bahasa Inggeris di SM St Patrick Tawau sehingga selesai pada tahun 1954.

Ahmad Ayid juga pernah bekerja sebagai pembantu guru, jurubahasa kepada Residen Jepun sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945.

Sebagai seorang ayah yang prihatin dan menitikberatkan soal pendidikan anaknya, Ahmad Ayid, yang hanya menjalankan perniagaan menjual kain, berjaya menghantar lima anaknya belajar di institusi pengajian tinggi di luar negara – tiga di England dan dua di Amerika Syarikat dengan perbelanjaan sendiri.

Dalam arena politik, Jainab berkata ayahnya mula ber-kecimpung dalam arena politik pada tahun 1962 sebagai ahli USNO.

Pada awal tahun 1963, Ahmad Ayid dipilih sebagai ke-tua cawangan USNO Bandar Tawau merangkap timbalan ketua USNO bahagian Tawau sehinggalah parti itu dibubarkan pada 1991.

Selepas UMNO mengembangkan sayap ke Sabah pada 1991, Ahmad Ayid turut bergiat aktif dalam perjua-ngan membela nasib rakyat khususnya Bumiputera di negeri ini, dan beliau menjadi Pengerusi Tetap UMNO Tawau dari tahun 1991 hingga 2002.

Ahmad Ayid juga aktif dalam bidang sosial dan pernah menganggotai USIA (Persatuan Islam Sabah Bersatu), Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah dan Persatuan Sahabat Pena yang bergerak secara senyap bagi memperjuangkan kemerdekaan.

“Ayah saya juga pernah mengetuai biro kebajikan dalam Persatuan Islam Tawau yang memastikan pungutan zakat dapat dijalankan bertujuan membantu orang-orang miskin termasuk mangsa kebakaran dan (keluarga) orang meninggal,” kata Jainab yang bertekad meneruskan agenda kebajikan Allahyarham untuk membantu rakyat atas kapasitinya sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Jainab berkata: “Pemergian ayah amat menyedihkan kami adik-beradik dan kami berterima kasih kepada semua pihak termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang menyampaikan salam takziah kepada kami sekeluarga.

“Hargailah kedua-dua ibu bapa kita selagi mereka masih hidup di dunia…Sesungguhnya anugerah yang paling berharga di dunia ini adalah kedua-dua ibu bapa,” kata-nya. — Bernama