Ejen palsu urus rumah diburu

0

SAIMAN menunjukkan keratan menunjukkan gambar suspek yang diburu.

Dipercayai memperdaya 19 mangsa membabitkan kerugian RM258,400

KOTA KINABALU: Polis memburu seorang wanita tempatan yang menyamar sebagai ejen dalam urusan membeli rumah sehingga mengakibatkan 19 mangsa kerugian sehingga RM258,400.

Suspek dikenali sebagai Noorayudah Mohd Ayub, 25, berasal dari daerah Tawau, dikatakan menggunakan helah dirinya mempunyai kenalan akrab di Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) yang memudahkan urusan pembelian kediaman yang diinginkan oleh mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri, Superitendan Saiman Kasran, berkata suspek dikenal pasti melakukan aktiviti penipuannya di Kota Kinabalu, Tawau dan Penampang.

“Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, kita dapati suspek menyasarkan individu-individu yang mengalami kesukaran untuk menguruskan pembelian rumah mereka.

“Setelah mengenal pasti individu-invidu terbabit, suspek kemudiannya bertindak memperkenalkan diri dengan mangsa dan mengaku mempunyai orang dalam di LPPB,” katanya.

Mengulas lanjut, Saiman berkata suspek menggunakan kepintaran berkata-kata kepada mangsa sehingga mengakibatkan mereka terperdaya akan janji untuk mendapat atau mempercepatkan urusan pembelian rumah dengan syarat perlu melunaskan sejumlah wang tunai sebagai cagaran terlebih dahulu.

“Ada mangsa sanggup memberikan wang deposit sebanyak RM52,000, RM44,000 dan RM12,000.

“Kebanyakan mangsa adalah berusia 30 hingga 40an dan rata-ratanya adalah merupakan kakitangan sektor awam,” katanya sambil menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi talian 088-454222.

Suspek kali terakhir dilihat di alamat JKR 3007, Jalan OKK Abu Bakar Tawau itu disyaki bergiat aktif dalam kes penipuan berkenaan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.