IPOH: Kerajaan Perak melantik 20 anggota Dewan Unda-ngan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk berada dalam setiap jawatankuasa negeri yang dipengerusikan anggota exco sebagai usaha memudahkan pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelantikan ADUN dalam jawatankuasa peringkat negeri itu merupakan inisiatif transformasi untuk melicinkan urusan pentabdiran dan pelaksanaan keputusan yang dibuat mesyuarat exco kerajaan negeri.
“Kesemua ADUN ini akan membantu anggota exco ne-geri dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan. Lantikan dibuat berdasarkan pengalaman dan kecenderu-ngan mereka untuk membantu setiap jawatankuasa itu,” kata-nya selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota jawatankuasa kepada ADUN di sini semalam.
Beliau berkata selain itu kerajaan negeri juga bersetuju menubuhkan tiga lagi jawatankuasa khas yang melibatkan dasar dan kepentingan awam iaitu pembangunan wanita, pengangkutan awam dan pencegahan jenayah yang akan dianggotai ADUN BN dan pembangkang.
Ketiga-tiga jawatankuasa khas itu yang dipantau keberkesanan juga akan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai anggota untuk memberi pandangan ke arah penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata-nya.
Kerajaan negeri Perak mempunyai 10 jawatankuasa negeri iaitu Jawatankuasa Aga-ma, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam (dipengerusikan oleh Zambry); Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Saarani Mohamad); Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor (Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid).
Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastuktur, Tenaga dan Air (Datuk Zainol Fadzi Paharuddin); Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyara-kat dan Integrasi Nasional (Datuk Rusnah Kassim); Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil (Datuk Samsudin Abu Hassan); Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Mohd Nizar Zakaria); Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan (Nolee Ashilin Mohammed Radzi); Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau (Dr Muhammad Amin Zakaria); dan Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multi-media (Datuk Shahrul Zaman Yahya). — Bernama