Santubong destinasi ekopelancongan kegemaran

0

DIPELIHARA: Batu Bergambar kini dipelihara bagi mengekalkan
keaslian sejarah yang akan menjadi tarikan pelancong.

Ia merupakan destinasi kedua selepas Gua Niah yang jadi pusat pelancongan kegemaran pengunjung

KUCHING: Santubong merupakan destinasi ekopelancongan kedua selepas Gua Niah di Sarawak yang menjadi pusat pelancongan kegemaran para pengunjung yang bercuti di sini.

Sehubungan itu, Persatuan Pencinta Alam (MNS) Cawangan Kuching menyasarkan kedatangan pengunjung ke destinasi tersebut sempena sambutan Festival Alam Semula Jadi Santubong yang akan diadakan pada November kelak.

Ia berikutan kawasan itu yang kaya dengan peninggalan bahan bersejarah berkaitan kewujudan awal penempatan pedagang di situ.

Kenyataan tersebut dijelaskan oleh Pengerusi MNS Cawangan Kuching Anthony Sebastian ketika mengetuai pemberita dan kakitangan muzium menjejaki Sungai Jaong di Santubong yang menjadi kawasan penempatan perdagangan sejak abad ketujuh lagi.

“Kami memilih kawasan Sungai Jaong sebagai pusat pelancongan bersejarah di Santubong kerana di sini juga terletaknya Batu Bergambar yang menjadi bukti kewujudan masyarakat purba di sini pada masa lalu.

“Walaupun penempatan di sini nampak seperti tidak diketahui, namun terdapat beberapa penemuan ukiran lukisan atas batu di kawasan ini,” ka tanya kepada pemberita ketika mengetuai lawatan tersebut.

Menurutnya, beberapa artifak dan kerja arkeologi berusia antara 700 tahun di kawasan terbabit telah dijumpai sejak 1950-an lagi.

Antara barangan yang dijumpai di Sungai Jaong termasuk lukisan bergambar yang dilukis di atas permukaan batu, balang, serpihan mangkuk porselin dan duit syiling.

Selain itu, Anthony berkata kehadiran hampir 1,000 arti fak di kawasan berkenaan cukup menjelaskan kawasan itu pernah didiami sejak beberapa abad lalu.

“Menurut kajian sejarah lampau, pedagang yang datang ke Santubong adalah pedagang dari China dan India.

“Kebiasaannya mereka datang dengan membawa balang, garam, rantai manik serta tekstil untuk dijadikan barang tukaran kepada damar, sarang burung, tanduk badak sumbu dan rotan,” katanya.

Dengan adanya nilai sejarah di kawasan ini, beliau yakin ia mampu menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk datang ke sini dan melihat sendiri artifak peninggalan yang sedang dipelihara ini.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar festival yang akan diadakan pada bulan depan mampu memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya sejarah untuk dipelajari.