Tiga geng ‘toto’ terbabit 12 kes penipuan tumpas

0

SAIMAN menunjukkan keratan akhbar dan salinan keputusan tiket 6D toto yang berjaya dirampas daripada geng berkenaan.

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan tiga geng `toto’ yang didapati aktif dalam 12 kes penipuan nombor ekor 6D membabitkan kerugian RM23,030 dalam satu satu serbuan di sebuah restoran di Inanam, dekat sini.

Kesemua suspek lelaki warga asing berusia 39 hingga 51 tahun itu diberkas sekitar jam 9 malam 13 September lalu berdasarkan risikan selama seminggu.

Wang tunai hasil kegiatan geng itu dikatakan disalur ke sebuah akaun bank di negara jiran berikutan penemuan tujuh resit EZ Money.

Modus operandi kumpulan itu dipercayai menyasarkan golongan wanita berumur yang membeli tiket loteri 6D sebelum memberitahu mereka telah memenangi keputusan dengan tawaran hadiah sehingga RM200,000.

Suspek kemudian menggunakan helah tidak dapat menukar tiket terbabit untuk mengambil wang kemenangan disebabkan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri, Superitendan Saiman Kasran, berkata mangsa yang terperdaya akan dibawa ke premis nombor ramalan itu dan meminta mangsa menyerahkan sama ada wang ringgit, barangan kemas atau telefon bimbit sebagai cagaran.

“Setelah itu, suspek mengarahkan mangsa pergi membuat salinan kad pengenalan dengan memegang tiket 6D dan keratan akhbar milik suspek. Kesemua nombor ekor itu adalah benar dibeli, kecuali keratan akhbar berkenaan yang dipalsukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan itu, tiga suspek terbabit difahamkan bergiat aktif di seluruh negeri awal tahun ini.

“Antara lokasi yang dilaporkan suspek melakukan aktiviti mereka termasuk di Kota Kinabalu dengan empat kes, Penampang (2), Sipitang (1), Sandakan (2) dan Tawau (3 kes).

“Hasil siasatan turut mendapati dua daripada tiga suspek terbabit mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama dan pernah dipenjara 18 bulan, dan diusir balik ke negara asal mereka,” katanya.

Hasil penahanan mereka turut membawa rampasan puluhan nombor ekor 6D, keratan akhbar keputusan, satu kad kredit, tiga telefon bimbit pelbagai jenis, dua beg dompet dan sebuah kenderaan Saga FLX digunakan ketiga-tiga suspek.

Sementara itu, Saiman mendedahkan pihaknya kini menjejaki baki lapan lelaki warga asing anggota geng berkenaan yang difahamkan masih berada di negeri ini serta terlibat dengan 11 lagi kes membabitkan penipuan berpuluh ribu ringgit.

Jumlah kerugian melibatkan kesemua aktiviti geng itu adalah berjumlah RM117,186 sementara lima antara mereka telah dituduh di mahkamah.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.