Gitar Gibson, Ibanez dan Dean antara dirampas dalam serbuan

0

KEONG (kiri) dan Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tawau, DSP Awang Arshad Awang Bakar menunjukkan kepada media gitar-gitar yang dirampas oleh pihak polis.

TAWAU: Gitar elektrik jenama terkenal seperti Gibson, Ibanez dan Dean antara yang dirampas dalam serbuan di kediaman seorang buruh tempatan berusia 27 tahun di Takala, Tanjung Batu Laut di sini kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng berkata hasil pemeriksaan sepasukan polis di bilik yang didiami suspek secara keseluruhannya menemukan empat barangan elektronik.

“Kita merampas satu gitar elektrik jenama Gibson dengan nombor siri 017160454, satu gitar jenama Ibanez, satu gitar jenama Dean J11120169 dan satu kotak alat pembesar suara Marshall berwarna hitam,” katanya di sini kelmarin.

Keong berkata pihak polis juga berhasil menemui barangan elektronik lain menerusi pemeriksaan di bilik kedua di kediaman sama yang didiami oleh seorang suspek tempatan berusia 17 tahun dan menganggur.

Keong berkata suspek dikesan menyembunyikan dua gitar akustik kapok, satu gitar akustik jenama Sepia Crue, satu televisyen jenama Samsung 43 inci dengan nombor sirinya ZXNK3MJD500035R dan satu Ipad Apple nombor siri DLXKC8ZSF196.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita dapati barangan elektronik yang disembunyikan di bilik pertama dan kedua rumah terbabit tidak mempunyai resit pembelian dan kita mengesyakinya sebagai barang curi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek juga didapati positif dalam ujian saringan air kencing mengandungi methamphetamine dan ditahan reman mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menyentuh mengenai status barangan elektronik yang dirampas pula, Keong berkata pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan suspek dan mengeluarkan pekeliling
berhubung penemuan barangan elektronik terbabit.

“Kita juga menyeru kepada sebarang pihak yang kehilangan barang-barang elektronik seperti yang dinyatakan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Yong ataupun menghubungi talian IPD Tawau iaitu 089-752222,” katanya.