Polis cekup bekas banduan

0

AWANG (dari kiri), Keong, Zam Zarina dan Iyda menunjukkan kepada media barang-barang yang dirampas.

TAWAU: Modus operandi seorang bekas banduan warga asing yang menggunakan empat nama berasingan untuk mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas pihak polis berhasil menyerbu kediamannya di Tawau Lama pada 9 September lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng berkata suspek berusia 45 tahun, warganegara Indonesia itu sebelum ini dikenali dengan nama Arshad Bahar, Hassan Itini dan Ramli Tajan kemudian satu lagi nama terakhirnya (dirahsiakan) sebelum dicekup.

“Semasa ditangkap, suspek menggunakan satu lagi nama lain sebagai identiti dirinya yang baharu, namun pihak kita dapat mengesan suspek sebagai individu sama yang pernah menggunakan tiga lagi nama yang dinyatakan untuk pengenalan dirinya,” katanya.

Keong berkata suspek dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pemalsuan dokumen seperti Mykad, Sijil Lahir dan Lesen Memandu walaupun lelaki terbabit baharu sahaja dibebaskan dari menjalani hukuman penjara dan sebatannya pada 8 Februari 2013.

Menurutnya, suspek diberkas di salah sebuah rumah tidak bernombor di Tawau Lama dalam Op Cegah Jenayah berikutan maklumat awam dan risikan yang diterima pihak polis sebelum serbuan dan pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan di bilik suspek, kita menemui sembilan keping Mykad biru bergambar, tiga Mykad biru tanpa gambar, satu unit mesin ‘laminate’, satu kotak kertas ‘laminate’, 11 keping gambar berukuran kad pengenalan.

“Kita turut merampas dua kad sim, satu keping sijil lahir dan dua keping lesen memandu yang kesemuanya dipercayai palsu,” katanya lagi sambil mendedahkan suspek disyaki sudah menjual 14 Mykad yang diubahsuai mengikut butiran ‘pelanggannya’.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai mengubah suai Mykad tulen (asal) yang diperolehi daripada orang lain untuk dijual semula kepada pembeli yang terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina yang tiada dokumen.

“Suspek disyaki memadam dan mengikis butiran asal pemilik Mykad dengan peralatan tajam dan ditukar dengan butiran baharu mengikut permintaan pembelinya,” katanya selain mengesahkan suspek menjual Mykad pada harga RM80 sementara lesen memandu RM20.

Menurut Keong lagi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan kesemua dokumen terbabit tidak wujud dalam sistem mereka dan ada yang wujud tetapi imej tidak sama ketika Mykad dirujuk ke jabatan itu.

Malah beliau berkata, sijil lahir yang berada dalam simpanan suspek juga disahkan sebagai milik orang lain, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan fizikal lesen memandu suspek berbeza dengan maklumat yang terdapat di dalam sistem jabatan terbabit.

“Siasatan menyeluruh mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan sama (pemalsuan dokumen) pada tahun 2012 dan dihukum penjara 19 bulan serta dua sebatan ketika menggunakan nama Arshad Bahar.

“Suspek juga baru sahaja keluar dari penjara pada 8 Febuari lepas dan sudah diusir ke Nunukan, Indonesia, namun dia datang semula ke daerah ini dengan menggunakan nama yang lain pula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sudah merujuk kes terbabit dengan pihak Timbalan Pendakwa Raya dan suspek bakal dihadapkan ke Mahkamah Tawau pada Isnin hadapan iaitu 23 September 2013.

Suspek berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 36 Akta Imigresen kerana kembali semula setelah diusir ke negara asal.

Dalam pada itu, sepasang suami-isteri yang tinggal bersebelahan bilik dengan suspek turut ditahan dalam operasi terbabit kerana didapati positif dalam ujian saringan air kencing mengandungi methamphetamine bersama suspek.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, DSP Awang Arshad Awang Bakar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, ASP Iyda Ismail dan Pegawai Penyiasat, Inspektor Zam Zarina Asri.