Contohi inisiatif ‘Mid Autumn Festival’

0

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai menyambut baik inisiatif Persatuan Aktivis Seni Per-sembahan Budaya Malaysia menganjurkan ‘Mid Autumn Festival’ secara terbuka kepada orang ramai.

Menyifatkan inisiatif itu sebagai satu usaha untuk memupuk dan mengeratkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini, Abdul Wahap berharap ia akan dicontohi oleh persatuan-persatuan lain.

Beliau turut yakin peng-anjuran festival seperti ini akan dapat membantu kerajaan mencapai  matlamat menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang cantik, bersih dan selamat kepada penghuninya.

“Meskipun festival ini tidak dianjurkan secara besar-besaran, namun ia mampu memberi impak yang besar kepada orang ramai mengenai kepentingan memelihara perpaduan dan keharmonian antara satu sama lain.

“Saya berharap agar program seperti ini akan diterus-kan secara konsisten pada masa akan datang bagi membolehkan masyarakat mengenali dan memahami budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya pada Majlis Perasmian ‘Mid Autumn Festival’ di Plaza Merdeka di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Urusan Plaza Merdeka Datuk Steve Ng, Ahli Dewan DBKU Datuk Wee Hong Seng serta yang lain.

Pada program itu, turut diadakan penyerahan sumbangan bernilai RM2,200 daripada Maison Monica Hair & Beauty Academy kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Sarawak.

Replika cek disampaikan oleh Prinsipal Maison Mo-nica Hair & Beauty Aca-demy, Monica Then kepada Pengerusi Bantuan Bencana BSMM Cawangan Sarawak Lui Pui Ann.

Sumbangan itu merupakan salah satu daripada aktiviti amal oleh akademi tersebut sempena ‘Mid Autumn Festival’ menerusi aktiviti memotong rambut amal untuk disumbangkan kepada persatuan berkenaan.

Turut diadakan perarakan tanglung di sepanjang Padang Merdeka berhadapan Plaza Merdeka yang diketuai oleh Abang Wahap bersama tetamu lain serta pengunjung di kompleks beli-belah berkenaan.