Kediaman musnah dalam kebakaran Jan-Ogos naik sebanyak 40 peratus

0

KUCHING: Bilangan rumah kediaman yang musnah dalam kebakaran bagi Januari hingga Ogos tahun ini mencatat peningkatan 40 peratus berbanding tempoh sama 2012.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, ia termasuk kebakaran yang melibatkan rumah panjang di seluruh negeri.

Bagaimanapun, menurutnya, kebiasaannya bilangan rumah terbakar akan menurun pada bulan September.

“Memang ada peningkatan terutama bilangan rumah yang musnah akibat kebakaran.

“Dianggarkan 40 peratus peningkatan untuk Januari hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar NBOS 7 di Kampung Buntal, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof.

Nor Hisham berkata, mulai bulan Oktober tahun ini pihaknya akan memberi tumpuan kepada kebakaran rumput kerana pada penghujung tahun keadaan cuaca dijangka agak kering.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membina rumah terlalu dekat kerana keadaan itu boleh menyebabkan kebakaran melibatkan bilangan rumah yang banyak.

“Bagi rumah kayu sepatutnya dibina pada jarak enam meter antara satu sama lain manakala rumah batu (tiga meter),” ujarnya.