Kemenangan jamin harapan

0

KUCHING: Secara matema­tik, skuad Ngap Sayot hanya perlu seri pada pertemuan dengan Perak malam ini untuk mengesahkan slot ke peringkat suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Namun, pengendalinya Robert Alberts mensasar­kan tiga mata penuh bagi membolehkan Sarawak me­namatkan saingan pering­kat Kumpulan D di tempat teratas.

Jelasnya, meskipun Sarawak berkelebihan kerana bermain di laman sendiri, namun tidak bermakna mereka boleh mendabik dada ketika berde­pan anak-anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah yang pastinya tidak mahu memberi laluan mudah.

“Saya pasti kita bakal ber­depan cabaran sengit kerana Perak juga mahukan keme­nangan untuk mara ke pering­kat seterusnya (suku akhir),” katanya di sini semalam.

“Justeru, saya menghara­pkan semua pemain agar mengekalkan momentum dan memberi fokus terbaik mereka terutamanya dalam mengekang pergerakan ba­risan penyerang lawan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pemain-pemain agar belajar daripada kesilapan ketika te­was 1-2 dengan pasukan sama di laman lawan bulan lalu me­skipun mendahului 1-0.

Sementara itu, Alberts me­narik nafas lega kerana semua pemain utamanya bebas dari­pada kecederaan menjelang pertemuan dengan Perak malam ini.

Katanya, penyerang uta­ma Muamer Salibasic yang dibawa keluar semasa perla­wanan menentang Lions XII FC di kota singa tempoh hari juga disahkan cergas dan dis­enaraikan dalam kesebelasan utama.

Malah, beliau juga berpuas hati dengan persembahan pe­main gantian, Ashri Chuchu yang membuat penampilan pertamanya Rabu lalu sejak pulih daripada kecederaan.

“Besar kemungkinan saya akan menurunkan kesebela­san sama ketika menentang Lions XII FC tempoh hari. Saya percaya dengan kemam­puan barisan pemain yang dipertaruhkan untuk melakar kemenangan mutlak nanti,” tambahnya.

Sarawak masih mendahu­lui Kumpulan D setakat ini meskipun berkongsi tujuh mata dengan Lions XII FC dan Perak manakala Kedah dengan enam mata.