Masyarakat Cina rai perayaan Kuih Bulan dengan meriah

0

MIRI: Masyarakat Cina di sini beramai-ramai membanjiri tokong tertua Miri, Tua Pek Kong bagi bersama menyambut perayaan Kuih Bulan malam kelmarin.

Ia merupakan acara tahunan anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri diserikan dengan pelbagai budaya Cina.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin dalam ucapan perasmiannya menggesa masyarakat setempat agar bersyukur tinggal di negara ini yang membolehkan mereka menikmati dan meraikan sambutan perayaan masing-masing dengan aman dan harmoni.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memberikan rakyat hak kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing.

“Hak kebebasan yang diberikan membolehkan rakyat berbilang kaum hidup dalam suasana harmoni dan aman damai serta bertoleransi dalam kebudayaan,” katanya.

Katanya, kerajaan turut menggalakkan rakyat untuk saling berkongsi kefahaman serta meraikan perayaan bersama dengan mengadakan rumah terbuka.

“Kerajaan BN tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing.

“Sebaliknya, kerajaan juga memberi sokongan dan menyediakan peruntukan untuk membantu serta meningkatkan pembangunan kepercayaan dan kebudayaan di sini,” ujar Lee.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin mahu rakyat di semua peringkat mengekalkan perpaduan yang sedia ada di kalangan kaum di bawah konsep 1Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, masyarakat Cina harus berganding bahu dengan masyarakat lain bagi mengukuhkan perpaduan dan hubungan baik agar tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif.

Hadir sama Datuk Sri Temenggung Lee Si Tong dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur.

Selain persembahan tarian kebudayaan, kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam pertandingan membuat tanglung.