RM5.5j untuk projek bina semula rumah terbakar

0

RUMAH BAHARU: Amer menyerahkan replika kunci rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar NBOS 7 kepada Ismail sambil diperhatikan Nor Hisham (kiri), semalam.

KUCHING: Sejumlah RM5.5 juta diperuntukkan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk projek pembinaan semula rumah terbakar di seluruh negara pada tahun ini.

Projek di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 7 itu membabitkan pembinaan 20 buah rumah dan dikendalikan sepenuhnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof berkata, Sarawak diperuntukkan dua buah rumah yang terletak di Kuching dan Sibu dengan kos RM45,000 setiap satu.

“Bukan semua rumah terbakar akan kita bina semula kerana ia bergantung kepada kriteria ditetapkan iaitu memiliki tanah bergeran dan miskin tegar.

“Rumah ini dibina anggota bomba bagi menjimatkan perbelanjaan terutama dari segi upah,” ujarnya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar NBOS 7 di Kampung Buntal, semalam.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak lapan buah rumah sudah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik.

“Baki 12 buah rumah lagi dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan,” ujarnya.

Mengulas mengenai projek pembinaan semula rumah terbakar NBOS 7 di Kampung Buntal, Amar menjelaskan, ia mengambil masa sebulan untuk disiapkan oleh enam anggota bomba.

“Sekarang, kita boleh lihat anggota bomba bukan sahaja mahir memadam kebakaran atau menyelamat, tetapi juga mempunyai keupayaan membina rumah dalam masa singkat,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Ropen, 28, melahirkan rasa gembira apabila mendapat rumah baharu meskipun pernah kehilangan rumah akibat kebakaran sebelum ini.

“Saya terharu dengan sumbangan KKLW dan bomba yang membina semula rumah saya,” kata Ismail yang merupakan salah seorang pemilik rumah di bawah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar NBOS 7.

Pada 28 Jun lalu, rumah Ismail musnah dalam kebakaran manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mula membina rumah itu pada 15 Ogos lepas serta siap sepenuhnya sebulan kemudian.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak Nor Hisham Mohammad.