Sumbangan UiTM amat besar

0

KOTA SAMARAHAN: Sumbangan Universiti Tek-nologi MARA (UiTM) terhadap pendidikan tinggi cukup besar dalam menjadi pemangkin mengubah nasib anak bangsa, khususnya masyarakat Bumiputera di negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, UiTM telah memainkan peranan dalam menjayakan proses penstrukturan semula sosial yang dimulakan selepas peristiwa hitam 31 Mei 1969 sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurutnya, hasil sumba-ngan UiTM dalam pendidikan tinggi, ia berjaya mengangkat martabat Bumiputera dari kelas terbawah mengikut jumlah pendapatan pada tahun 1970-an hingga setanding dengan masyarakat bukan Bumiputera pada masa ini.

“Saya percaya dengan peng-ambilan pelajar dan bilangan graduan yang mencecah puluhan ribu setiap tahun, UiTM mempunyai peranan cukup besar dalam membasmi kemiskinan khususnya di kalangan masyarakat Bumiputera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Ulang Tahun Ke-40 UiTM Sarawak bertemakan ‘Pemangkin Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Dewan Jubli UiTM di sini, semalam.

Wahab yang juga Presiden Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) memberitahu, statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi menunjukkan ka-dar kemiskinan masyarakat Bumiputera hanya sekitar lima peratus.

“Ia telah mencatatkan kadar penurunan yang amat besar dalam tempoh kurang daripada 50 tahun yang mana sebelum ini kadar kemiskinan masyarakat Bumiputera pada tahun 1970-an melebihi 60 peratus.

“Justeru, sepanjang 40 tahun penubuhan UiTM khususnya di Sarawak, ia telah memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan negara dan rakyatnya,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka turut me-muji usaha UiTM Sarawak dalam memajukan masyara-kat Bumiputera luar bandar di Sarawak melalui program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ yang mana 15 pelajar dari kawasannya telah dipilih untuk mengikuti program berkenaan.

“Program yang dibuka khusus kepada anak-anak miskin di bandar dan luar bandar ini dapat memberi peluang kepada pelajar yang tidak mendapat akses untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, sekali gus dapat mengubah nasib dan keluarga mereka,” tambahnya.

Malah, katanya lagi, sepuluh bekas pelajar UiTM kini memegang jawatan menteri di peringkat persekutuan dan negeri.

Antaranya beliau sendiri, Datuk Joseph Entulu Belaun, Datuk Rohani Abdul Karim, Nancy Shukri, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Mohd Naroden Majais, Datuk Mong Dagang dan Datuk Peter Nansian Ngusie, jelasnya.

Terdahulu, Rektor UiTM Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali berkata, bermula dengan hanya 94 pelajar pada tahun 1973 di kampus pertama Batu Lintang, UiTM Sarawak terus berkembang dan kini mempunyai lebih 8,000 pelajar dengan jumlah akademik sebanyak 53.

“Kita akan berusaha dan terus memainkan peranan dalam melahirkan lebih ramai graduan bagi meme-nuhi sumber tenaga manusia dengan pelbagai kebolehan profesional terutamanya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) kelak,” ujarnya.