Abdillah yakini kakitangan JPNS lakukan yang terbaik realisasi PPPM

0

PENGHARGAAN: Abdillah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Fatimah sebagai tanda penghargaan menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPNS di Kuching semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Datu Abdillah Adam yakin warga JPNS akan melakukan yang terbaik bagi merealisasikan wawasan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Keyakinan itu dinyatakan oleh beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmtan Cemerlang 2012 jabatan berkenaan di Auditorium JPNS di sini semalam.

Demi kejayaan menjulang pendidikan di negeri ini, warga jabatan akan memastikan setiap daripada mereka melakukan yang terbaik seperti yang telah dinyatakan dalam dialog prestasi PPPM bersama Tan Sri Abdul Gafar Mahmud di SMK Tarat pada 9 September lepas, katanya.

“Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Gafar pada sambutan Hari Guru 2013 menginginkan seluruh warga pendidik mempunyai satu aspirasi untuk membangun sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti dalam PPPM 2013-2025.

“Oleh yang demikian semua warga pendidik dalam susur jalur JPNS harus mengambil inisiatif untuk meneliti, mengkaji, memahami dan melaksanakan setiap program dirancang dengan menggerak jentera bertindak di setiap peringkat organisasi masing-masing.

“Bagaimanapun, saya yakin warga JPNS adalah komited untuk merealisasikan wawasan PPPM dan akan melakukan yang terbaik untuk menyokong pelaksanaannya di negeri ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai majlis itu, Abdillah berkata terdapat seramai 3,836 staf profesional dan kakitangan sokongan dari seluruh Sarawak dipilih bagi menerima APC bagi tahun 2012.

Bagaimanapun menurutnya, majlis yang diadakan semalam melibatkan 53 penerima yang bertugas di Ibu Pejabat JPNS, Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua/Guru Besar dan Guru Cemerlang.

Majlis seumpama ini telah diadakan di peringkat  bahagian dan daerah selain turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat selama 20 tahun atau lebih di JPNS.

“APC yang dianjurkan pada setiap tahun merupakan satu bentuk penghargaan ke atas usaha gigih anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan perkhidmatan cemerlang.

“Pada masa yang sama ia juga sebagai galakan kepada anggota perkhidmatan awam untuk terus berusaha  dengan lebih gigih dalam mencapai KPI yang ditetapkan.

“Saya berharap APC ini akan menjadi pembakar semangat kepada staf JPNS untuk terus bekerja keras bagi mencapai matlamat ‘Membina Kejayaan dan Terus Menjulang Sarawak’ setanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Anugerah dan sijil penghargaan telah disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.