Taekwondo landasan terbaik

0

JUARA BERTAHAN: Abu Seman bersama kontinjen Persatuan Taekwando Sabah yang dinobatkan juara keseluruhan Piala Pusingan SGTA buat edisi Jemputan Borneo di Sibu semalam.

Memperkasa pelajar dengan melengkapi skop penting pembentukan modal insan

SIBU: Sukan Taekwondo landasan terbaik dalam kokurikulum yang berupaya memperkasa pelajar, selain melengkapi pelbagai skop penting pembentukan modal insan masa hadapan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie berkata aktiviti sukan itu perlu diterapkan kepada pelajar terutama golongan muda kerana aspek penting mempengaruhi kerjaya masa depan mereka.

“Kita lihat secara mendalam perspektif sukan taekwondo yang memfokuskan kepada pembentukan seorang atlet berdisplin dan komited dalam situasi yang diarahkan.

“Jika elemen ini mampu dipupuk, maka tidak mustahil lebih ramai golongan muda akan datang lahir sebagai modal insan yang berguna malah menyumbang pelbagai kejayaan membanggakan dalam skop pembangunan negara,” katanya pada Penutupan Kejohanan Taekwondo Sekolah-sekolah Sarawak edisi keempat dan Jemputan Borneo kedua, di sini semalam.

Abu Seman menjelaskan senario kini menunjukkan sehebat mana pencapaian seseorang dalam bidang akademik tetapi penglibatan menyeluruh dalam kokurikulum tidak menggalakkan belum tentu akan ditawarkan kerjaya lebih cerah.

Justeru itu, katanya, analogi kalau kehidupan kampung seburuk manapun besi itu bila dibentuk dan dilenturkan akan menghasilkan sebilah pedang atau parang yang cantik.

“Begitu juga harus kita laksanakan demi memperlengkap generasi kini seimbang dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Kejohanan berlangsung selama tiga hari di Dewan Almas, SMK Kampung Nangka menghimpunkan seramai 201 atlet muda dari 10 buah kontinjen yang menyertai edisi kali ini.

Beliau yang juga ADUN Jemoreng merangkap penaung Persatuan Taekwondo Global Sarawak (SGTA) menyatakan bahawa sukan taekwondo perlu diperkasakan dengan pelbagai alternatif baharu kerana membawa impak positif kepada pelbagai pihak.

“Banyak manfaat bakal diperolehi dalam sukan ini jika terus diperkasakan dengan pelbagai program serta pelaksanaan iniasitif sama ada di peringkat sekolah, pertubuhan dan negeri.

“Bila kita fikir melalui sukan iaitu sikap kerjasama berkumpulan, pengurusan masa dan disiplin yang kukuh mampu diterapkan dalam jiwa setiap individu yang menyertainya.

“Malah, melalui pertubuhan kelab di setiap sekolah mencerminkan kesungguhan institusi pendidikan dan betapa besar perancangan sekolah membentuk serta membantu masa depan para pelajar,” jelasnya.

Dalam konteks ini, beliau mengharapkan agar mereka terus melibatkan diri lebih banyak aktiviti kokurikulum kerana penentu masa depan, aspek keseimbangan diri yang dicari dan memberikan faedah berguna pada kita sendiri.

Abu Seman juga merakamkan tahniah kepada atlet-atlet yang bakal dipilih mewakili Sarawak pada peringkat kebangsaan dan menggesa mereka merebut peluang sebagai landasan memperkasa diri sebagai kelompok pelapis negara.

Hadir sama Presiden SGTA Abang Ahmad Zaini Abang Fauzan, Pengetua SMK Kampung Nangka Hasnah Fauzi, Pengerusi PIBG, guru pengiring serta jemputan lain.