Ketua Polis P.Pinang terima SMS ugutan

0

Timbalan turut terima ugutan individu yang marah terhadap operasi buru kongsi gelap

GEORGE TOWN: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi membuat laporan polis selepas menerima beberapa ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali.

Beliau yang menerima lebih daripada tiga SMS ugutan pada Isnin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini jam 9 malam kelmarin.

Antara kandungan SMS berkenaan ialah “Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best”.

Selain itu pengirim SMS tersebut turut mengugut untuk “mengambil” Abdul Rahim atau rakannya jika tidak berjaya “mengambil” Abdul Rahim.

Kesemua SMS terbabit diterima daripada nombor yang sama bermula jam 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kandungan SMS yang diterima oleh Abdul Rahim.

Polis sedang menjalankan siasatan, katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim gagal dihubungi.

Selain Abdul Rahim, Bernama difahamkan Timbalannya Datuk A. Thaiveegan yang baharu bertugas di negeri ini minggu lepas juga menerima SMS berbaur ugutan.

Thaiveegan menerima SMS itu kira-kira jam 4 petang Khamis lepas daripada individu yang memperkenalkan dirinya anggota kongsi gelap di Klang, Selangor.

Bernama difahamkan antara lain individu itu marah dengan tindakan polis melancarkan operasi terhadap kongsi gelap serta menembak anggota mereka di Selangor.

SMS itu juga menyebut mahu menembak Thaiveegan yang sebelum ini Timbalan Ketua Polis Selangor dan semua anggota polis selain pelbagai maki hamun.

Kejadian dan kandungan SMS turut disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah. — Bernama