Pendapatan pesara tentera perlu ditambah

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan pesara tentera memandangkan ramai daripada golongan itu menghadapi kesukaran selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat.

Datuk Zaim Abu Hasan (BN-Parit) berkata dianggarkan 220,665 bekas tentera tidak layak menerima pencen selepas bersara kerana tempoh perkhidmatan tidak mencukupi 21 tahun.

“Ramai bekas tentera sekarang ini hidup serba kekurangan dan terpaksa bertungkus-lumus (berusaha) untuk menampung pendapatan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2013 di Dewan Rakyat semalam.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kesulitan pesara tentera untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat perkhidmatan dan antara puncanya ialah tidak mempunyai kelayakan akademik yang mencukupi.

“Selain itu, ada yang tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan dan ada antara pesara tentera tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan atau memiliki tanah untuk terlibat dalam bidang pertanian,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan anggota tentera dibolehkan bersara pada usia 60 tahun bagi mengelakkan bekas tentera tidak mempunyai kerja pada usia muda.

Zaim juga meminta peruntukan tanah bagi tujuan pertanian dan tapak rumah diberi kepada bekas tentera kerana ia akan membolehkan golongan itu memiliki rumah sendiri memandangkan masih ada yang menyewa.

“Kerajaan juga boleh membantu pesara tentera dengan membina skim rumah mampu milik melalui skim perumahan angkatan tentera dan Syarikat Perumahan Negara, termasuk pemberian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar,” katanya.

Beliau juga memohon kerajaan menimbangkan pemberian imbuhan khas RM500 setiap bulan kepada tentera tidak berpencen.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan semasa menggulung perbahasan itu, berkata pesara tentera tidak berpencen dicadang menceburi bidang perniagaan dan mendapatkan peluang berniaga serta modal daripada TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga berkata rasionalisasi subsidi petroleum yang dibuat baru-baru ini dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang, mengurangkan penyeludupan dan memantapkan kedudukan kewangan negara.

“Kajian kerajaan mendapati pemberian subsidi tidak bersasar ini memberi lebih manfaat kepada rakyat berpendapatan tinggi. Jadi penjimatan ini kita (kerajaan) akan gunakan untuk teruskan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh,” katanya. — Bernama