Salibasic tekad untuk jaring lebih banyak gol buat Sarawak

0

BERBISA: Gambar fail menunjukkan Salibasic (kanan) meraikan kejayaannya menjaringkan gol ketiga ketika membelasah Perak 6-1 di Stadium Negeri pada Sabtu lepas.

KUCHING: Penyerang sensasi Sarawak Muamer Salibasic bertekad untuk menjaringkan lebih banyak gol pada kempen Piala Malaysia yang telah memasuki fasa suku akhir.

Pemain kelahiran Bosnia itu berkata keyakinannya semakin memuncak susulan kejayaannya meledak hatrik ketika membelasah Perak 6-1 di Stadium Negeri pada Sabtu lepas.

“Saya berasa cukup puas dan gembira kerana berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan tersebut. Ia saat yang cukup manis buat diri saya dan pasukan,” jelasnya.

Menurutnya, beliau mahu menghadiahkan hatrik itu kepada semua penyokong Sarawak yang telah memberi sokongan kepadanya.

Muamer, 28, muncul penjaring terbanyak Ngap Sayot ketika ini dengan empat gol setelah mengharungi enam perlawanan dalam saingan Piala Malaysia.

Beliau berkat,a rakan sepasukan juga telah memainkan peranan penting dalam membantu beliau untuk mencipta jaringan-jaringan yang cantik.

“Sokongan daripada rakan sepasukan banyak memberi saya inspirasi untuk terus berusaha menjaringkan gol,” tambahnya.

Katanya, tidak mustahil Sarawak akan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekiranya skuad mengekalkan rentak cemerlang pada perlawanan seterusnya.

Sarawak akan memulakan saingan suku akhir pertama dengan menentang Sime Darby pada Sabtu ini (28 September) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Manakala saingan kedua akan berlangsung di Stadium Negeri pada 5 Oktober depan.