Sarawak di peta tenis dunia

0

Patrick Liew

Penganjuran kejohanan antarabangsa merancakkan pelancongan sukan negeri

KUCHING: Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Datuk Patrick Liew berkata penganjuran kejohanan tenis bertaraf antarabangsa di sini telah banyak membantu merancakkan sektor pelancongan sukan negeri.

Pada masa sama, katanya, kejohanan itu juga menjadi landasan tepat untuk melahirkan pemain tenis tempatan bertaraf dunia.

“Kita telah berjaya mencapai objektif dalam mempromosikan pelancongan sukan melalui penganjuran kejohanan tenis bertaraf antarabangsa di sini.

“Selain meletakkan Sarawak di peta dunia, kejohanan itu juga memberi pendedahan berguna kepada pemain tempatan sekali gus membantu menaikkan standard mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Patrick berkata demikian semasa mempengerusikan sidang media Kejohanan Tenis Remaja (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-22 (II) ITF di pejabat beliau semalam.

Ujarnya, kejohanan berprestij itu telah berjaya menarik penyertaan ramai peserta dari luar negara sejak bermula pada tahun 1998.

“Kejohanan ini sentiasa mendapat kepercayaan daripada peserta luar negara kerana SLTA menyediakan penganjuran yang sistematik berserta fasiliti yang berkualiti.

“Selain itu, keindahan pusat- pusat pelancongan yang ada di sini juga menjadi faktor utama ramai peserta luar negara berminat untuk menyertai sirkit di sini,” tambahnya.

Patrick turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang telah banyak membantu mempromosikan kejohanan tersebut hingga menjadi salah satu ikon di Sarawak.

Seramai 173 peserta dari 39 negara mengesahkan penyertaan pada edisi yang akan dari 15 hingga 20 Oktober depan di gelanggang tenis SLTA.

Negara-negara yang turut serta ialah Malaysia, Australia, Cyprus, Kanada, China, Chile, Denmark, Republik Dominica, Mesir, Perancis, Finland, Great Britain, Hong Kong, India, Indonesia, Ireland, Iran, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyztan, Latvia, Maghribi, Belanda, New Zealand, Filipina, Pakistan, Portugal, Rusia, Serbia, Korea Selatan, Singapura, Afrika Selatan, Sweden, Thailand, Taiwan, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Ukraine.

Pemain wanita nombor satu negara Aslina Chua dari Sarawak bakal mengepalai pasukan Malaysia pada edisi kali ini.

Beliau akan disertai seorang lagi wakil tempatan Alvin Teng.