Uji bakat Kem Badminton Astro di Arena Sukan pada 28 Sept ini

0

CARI BAKAT BAHARU: Sebahagian daripada para peserta yang menyertai uji bakat di Melaka dan Pahang baru-baru ini.

KUCHING: Astro Kasih akan mengadakan sesi latihan uji bakat Kem Badminton Astro pada hari Sabtu, 28 September ini di Arena Sukan Simpang Tiga, Kuching mulai jam 8 pagi hingga 11 pagi.

Ia merupakan sesi uji bakat ketiga setelah dilancarkan pada 14 September lepas oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan di Melaka dan disusuli di Pahang minggu lalu.

Program yang dianjurkan oleh Astro Kasih dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Nippon (NBA), Jepun merupakan program pembangunan belia yang bertujuan mengenal pasti kanak-kanak berbakat berumur 10 hingga 12 tahun.

Di samping memupuk teknik-teknik bermain badminton di kalangan kanak-kanak tersebut, program ini juga bertujuan melahirkan generasi pelapis kepada para pemain badminton profesional negara.

Kesemua enam sesi latihan uji bakat tersebut akan dikendalikan oleh Muhtasham Katan yang merupakan seorang jurulatih berkelayakan dari BAM, Jurulatih Panel Pendidikan BAM, Tenaga Pengajar BAM dan Persekutuan Badminton Asia (BAC) serta Pengurus Kejurulatihan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau akan dibantu oleh sekurang-kurangnya 10 jurulatih BAM di setiap lokasi uji bakat.

Setelah tamat kesemua enam sesi latihan uji bakat, seramai 60 peserta cemerlang akan dipilih untuk menjalani latihan intensif selama seminggu di Kuala Lumpur yang akan dikendalikan oleh barisan jurulatih berkelayakan dari BAM, jurulatih kebangsaan serta para pemain badminton kebangsaan untuk memantapkan tahap kemahiran, kecergasan dan strategi mereka.

Seramai 30 daripada 60 peserta akan berpeluang untuk merasai pengalaman menjalani latihan intensif di luar negara selama dua minggu di Tokyo, Jepun pada akhir tahun ini melalui jalinan kerjasama antara Astro Kasih dan NBA, Jepun.

Mereka bakal menjalani latihan bersama pasukan Kanto Junior Team Jepun dan dilatih oleh barisan jurulatih dari NBA di Pusat Latihan Nasional Ajinomoto Tokyo.

Mereka juga akan ditempatkan di Perkampungan Atlet yang sangat berprestij.

Semasa latihan mereka di Jepun nanti, para peserta Kem Badminton Astro berpeluang untuk menentang pasukan Kanto Junior Team Jepun dalam perlawanan persahabatan yang pastinya akan menguji dan meningkatkan kemahiran badminton mereka.

Pendaftaran akan dibuka bermula jam 9 pagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kem Badminton Astro, sila layari www.facebook. com/astrokasihmalaysia.