PPPM inisiatif kerajaan lahir pelajar cemerlang

0

MUKAH: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan satu inisiatif kerajaan untuk melahirkan para pelajar cemerlang dan mampu bersaing dengan negara lain di peringkat global.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abdul Rahman Bolhassan berkata untuk mengekalkan Malaysia terus berjaya dan mampu bersaing di peringkat global maka PPPM diwujudkan supaya dapat melahirkan graduan-graduan yang serba mahir serta menguasai pelbagai bidang.

“Usaha pihak kerajaan seumpama ini mampu memberi kesan yang positif kepada para pelajar dan melalui proses pembelajaran yang berkesan selain menyediakan ilmu pengetahun dan kemahiran kepada para pelajar.

“Kerana kita semua tahu bahawa, graduan-graduan kita akan mampu memberi hasil dan menyumbang kepada negara jika kita memberi pendidikan yang baik kepada mereka,” katanya pada Majlis Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) Peringkat Negeri di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah semalam.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, guru-guru di sekolah berperanan penting untuk memastikan kemenjadian pelajar dapat dicapai.

“Untuk melahirkan generasi yang cemerlang dan mencapai kemenjadian pelajar merupakan tanggungjawab bersama.

“Jika kita gagal, ia merupakan satu lumrah dan kita perlu melihat daripada kegagalan tersebut dan apa yang menyumbang kepada kegagalan tersebut dan dari situ kita dapat belajar memperbaiki kelemahan supaya dapat merealisasikan hasrat kerajaan dan mencapai kemenjadian pelajar,” katanya.

Pada majlis tersebut, Bahagian Mukah muncul juara keseluruhan bagi ASAT 2013, naib johan Bahagian Kuching dan tempat ketiga Bahagian Betong.

Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Ellen @ Manium Enggang, Pegawai Pendidikan Bahagian Mukah, Bugin Ragoon, Pengarah Politeknik Mukah Abdubrani Yunus, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Aseng Kuman merangkap Pengerusi Pengelola ASAT 2013.