Rakyat M’sia tidak perlu risau

0

KOTA KINABALU: Kerajaan Filipina yakin insiden keganasan yang dicetuskan oleh puak pemisah di Zamboanga tidak menjejaskan sektor pelancongan di negara itu.

Konsulat Jeneral Kedutaan Filipina ke Malaysia, Medardo Macaraig berkata secara praktikalnya kejadian terbabit sudah berakhir.

“Insiden itu hanya melibatkan satu jumlah yang sangat kecil daripada populasi di Filipina. Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu risau untuk datang melancong ke Filipina.

“Ini kerana, orang Malaysia adalah rakan kepada orang Filipina dan kejadian terbabit tidak menggambarkan sentimen masyarakat Filipina yang sebenar,” katanya.

Pihaknya yakin aspek keselamatan pelancong adalah terjamin dan insiden berkenaan tidak sepatutnya menjadi masalah.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui pada majlis Pengenalan Produk Pelancongan Filipina oleh Cebu Pacific Air (CEB) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Jabatan Pelancongan Filipina di sini kelmarin.

Pada tahun 2012 katanya, seramai 4.27 juta jumlah pelancong dicatatkan melawat Filipina dengan peningkatan sebanyak 9.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Medardo berkata, jumlah pelancong daripada Malaysia juga mencatatkan peningkatan sebanyak 24.8 peratus iaitu seramai 114,513 orang tahun lepas.

“Tahun 2012 juga pertama kali merekodkan jumlah pelancong Malaysia berjaya mencapai 100,000 orang.

“Dengan itu, tahun ini kita mensasarkan jumlah pelancong meningkat kepada 5.5 juta orang secara keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, menerusi statistik yang dikeluarkan oleh Pelancongan Malaysia, jumlah kedatangan pelancong Filipina ke negara ini mencapai peningkatan sebanyak 45 peratus melibatkan jumlah seramai 508,744 orang.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Kumpulan Amerika Utara dan Asia Pasifik, Jabatan Pelancongan Filipina, Maria Corazon Jorda berkata CEB mencatatkan peningkatan jumlah penumpang Malaysia sebanyak 16 peratus untuk tempoh separuh pertama tahun ini.

Menurutnya, sebagai syarikat penerbangan peneraju Filipina, CEB menerbangkan seramai 7.5 penumpang dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Berbanding tahun lepas katanya, jumlah terbabit meningkat sebanyak lapan peratus berbanding jumlah penumpang untuk tempoh yang sama tahun lepas iaitu seramai 6.9 juta.

“CEB mempunyai jadual penerbangan dua kali sehari daripada Manila ke Kuala Lumpur dan tiga kali seminggu ke Kota Kinabalu.

“Syarikat ini juga akan mengembangkan rangkaian laluannya bagi membuka peluang kepada para pelanngan membuat pilihan penerbangan yang lebih banyak dengan kadar tambang yang terendah,” katanya.

Katanya, usaha yang dijalankan oleh CEB adalah seiring dengan matlamat pelancongan Filipina iaitu sebagai akses kepada destinasi pelancongan negara serta perhubungan ke luar negara.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar STB, Gordon Yapp.