Generasi muda perlu semai nilai kemanusiaan Komunikasi

0

pergaulan dan sikap positif penting untuk menjalani kehidupan dalam masyarakat: Ting

MIRI: Generasi muda khasnya pelajar harus melengkapkan diri dengan nilai-nilai kemanusiaan jika berhasrat untuk maju dalam kehidupan menjelang dewasa kelak.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata pelajar harus bersikap positif dalam kehidupan terutamanya dalam melayani kerenah orang lain.

“Ada perkara yang tidak dapat dipelajari di sekolah seperti beramah mesra dengan orang lain melalui sikap yang positif.

“Jika mereka bersikap biadap atau tidak bertolak ansur, maka mereka juga akan dilayan dengan cara yang sama oleh orang lain,” katanya pada Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columba, semalam.

Beliau memberitahu, pelajar tidak seharusnya menjalani kehidupan dengan mementingkan diri sendiri kerana pada satu masa kelak, mereka memerlukan orang lain.

“Adalah amat penting mereka berkomunikasi, bergaul serta merapatkan hubungan baik satu sama lain dengan sikap yang positif.

“Dengan cara itu, mereka boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik dan harmoni tanpa sebarang sikap prejudis,” katanya.

Hadir sama wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Miri Mariam Monek, Pengetua SMK St Columba Robinette Tiong Ai Giek, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Lim Sweet Huat, Pengerusi Alumni SMK Columba, Karambir Singh dan Pengarah Pengurusan Sekolah, Hurbert Kelom.

Pada majlis sama, Ting berkata, tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan melainkan pelajar berusaha gigih dan menanam azam untuk berjaya.

“Hanya mereka yang benarbenar rajin dan berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kehidupan kelak akan mendapat habuannya nanti,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pelajar harus mengenal pasti peluang dan ruang untuk meningkatkan kecemerlangan dalam diri serta jangan hanya bersikap tunggu dan lihat.

“Paling penting ialah mereka perlu membuat pilihan atau keputusan yang tepat bagi memperoleh kejayaan kerana ia tidak akan datang bergolek tanpa sebarang tindakan atau usaha,” katanya.

Sementara itu, seramai 300 pelajar tingkatan lima telah menerima anugerah dan sijil masing-masing dalam bidang akademik dan kokurikulum.