Skim Perumahan Medium ganti rumah terbengkalai di Ranggau

0

LIMBANG: Isu rumah terbengkalai di kawasan Ranggau yang membelenggu penduduk hampir tujuh tahun lalu akhirnya terlerai apabila kerajaan memutuskan untuk merobohkan perumahan tersebut dan membangunkannya sebagai Skim Perumahan Medium (SPM).

Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kawasan berkenaan juga akan dibangunkan semula dengan reka bentuk rumah lebih menarik berharga RM100,000 hingga RM200,000.

Selain itu, katanya, kerajaan akan membina rumah-rumah lebih murah di Pandaruan, termasuk menempatkan pembeli rumah di Ranggau di kawasan tersebut.

“Kita tidak dapat menyelesaikan masalah di Ranggau kerana reka bentuk rumah yang tidak sesuai.

Walaupun harga murah, namun dalam jangka panjang ia juga tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika mengulas mengenai masalah rumah terbengkalai di kawasan Ranggau semalam.

Beliau memberitahu, keputusan itu baharu dibuat selepas mendapat pengesahan daripada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Kita akan roboh, bangunkan dan buat perancangan semula secara menyeluruh,” katanya sambil memberitahu Ranggau akan dibangunkan berdasarkan kedudukannya yang berdekatan bandar Limbang, termasuk projek pembangunan yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Jelasnya lagi, pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Limbang juga akan dibina berhampiran dengan kawasan Ranggau.

“Kawasan ini mempunyai potensi untuk dibangunkan kerana mengambil kira lokasinya berhampiran Sungai Limbang selain pembinaan dataran di sepanjang sungai terbabit,” jelasnya.

Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Ranggau yang disifatkan seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ dibina pada tahun 2006 dengan harga RM74,000 dan ke bawah.

RPR Ranggau Fasa Tiga mempunyai sebanyak 540 unit rumah setingkat. Difahamkan sebanyak 86 unit rumah sudah dijual, manakala 454 unit lagi masih kosong dan belum terjual.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati ada beberapa rumah didiami penduduk, manakala sebahagiannya terbiar dan retak, malah ada yang dipenuhi semak.

Beberapa rumah juga didapati mempunyai banyak kesan dipercayai akibat gejala vandalisme, maksiat dan kegiatan tidak bemoral.