Nasa FC juara Futsal Piala Jim Sematan

0

KUCHING: Pasukan Nasa FC dari Kampung Sileng Lundu dinobatkan juara Kejohanan Futsal Piala Jim Sematan 2013 setelah menewaskan CFC Rukam Biawak dengan 2-0 di Gelanggang Serbaguna Sematan semalam.

Kemenangan itu memastikan Nasa menggondol wang tunai berjumlah RM400 berserta piala, manakala CFC Rukam Biawak membawa pulang RM300.

Sang Kunchai A dari Kampung Trusan Jaya meraih tempat ketiga untuk menerima RM200, manakala Oly Beneto dari Lundu yang menduduki tempat keempat berpuas hati dengan RM100.

Sejumlah 27 pasukan termasuk dari Jabatan Imigresen Tebedu, Depo Tahanan Semunjan dan ICQS Biawak menyertai pertandingan selama dua hari itu.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Hamden yang seterusnya merasmikan majlis penutupan kejohanan.

Pengerusi Kejohanan merangkap Ketua Imigresen Sematan, Khusairi Sebli berkata kejohanan itu merupakan aktiviti tahunan Jabatan Imigresen yang bertujuan mencungkil bakat sedia ada di kalangan para belia setempat di samping menggalakkan perkembangan sukan futsal tanah air.

Turut hadir Ketua Imigresen Kuching-Samarahan Bujang Piee, Ketua Imigresen Bahagian Perkapalan Khairulnizam Omar, Timbalan Pengerusi PBB Tanjong Batu Abu Seman Keram, Pemanca Bujang Jally TK Man dan Ketua Kaum Kampung Trusan Jaya Abdul Rahman Buang.