JPN Sabah, Sarawak pantau projek pembangunan sekolah

0

Kementerian akan membantu dari segi pegawai teknikal

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan memberi kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Sabah dan Sarawak untuk memantau dan menyelaras projek-projek pembangunan sekolah di peringkat negeri masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah ini perlu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek-projek pendidikan yang dirancang di peringkat negeri itu sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Kita sedar mengenai keperluan untuk mempertingkat infrastruktur pendidikan di Sabah dan Sarawak selaras (dengan) PPPM. Oleh sebab itu, selain menambah bilangan sekolah yang lengkap peralatan dan kemudahan, sekolah-sekolah yang sedia ada, kita akan selenggara agar dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan khas bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Zon Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kementerian akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Pejabat Setiausana Negeri Sabah,

Pejabat Perbendaharaan dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah untuk menentukan projek pembangunan dilaksana dan siap mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Perkara ini dibangkit oleh kerajaan negeri, oleh sebab itu ia dibincang di peringkat kementerian, kita turun kuasa kepada peringkat negeri di Sabah dan Sarawak kerana kawasan luas dan pelbagai perkara dapat diurus bersama.

“Saya harap dengan cara begini, Pejabat Pendidikan Negeri akan kita bantu dari segi pegawai teknikal untuk pemantauan ke atas kontraktor sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pada peringkat awal, pelaksanaan itu ditawarkan bagi projek-projek kecil seperti pembinaan sekolah baharu dan penambahan bilik darjah sebelum kuasa penuh ke atas JPN yang memerlukan kakitangan, keperluan teknikal serta pasukan sokongan untuk memantau projek berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata dalam bulan ini sahaja, kementerian menyalurkan peruntukan RM15.9 juta kepada JPN Sabah untuk membiayai kos penyelanggaraan sekolah-sekolah tertentu.

Beliau berkata RM3 juta diperuntukkan kepada 33 buah sekolah yang dikenal pasti memerlukan peruntukan penyelenggaraan segera manakala baki RM12.9 juta bagi kerja-kerja pembaikan sekolah rendah dan menengah.

Terdahulu, ketika berucap, Muhyiddin berkata proses pendidikan di negara ini telah mengalami transformasi yang sangat pantas iaitu ia dirancang untuk mewujudkan pertumbuhan yang menyeluruh dalam sektor pendidikan dengan memberi tumpuan utama kepada pendidikan prasekolah dan asas literasi dan numerasi.

“Tujuan Program Transformasi kerajaan adalah untuk meletakkan asas yang kukuh dan berterusan bagi meningkatkan keupayaan pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi memastikan pencapaian ekonomi berpendapatan tinggi berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan mengambil pendekatan yang sistematik untuk meningkatkan kualiti guru baharu serta menambah baik kualiti dan profesionalisme guru sedia ada sejajar agenda program pendidikan transformasi negara.

“Kita berhasrat untuk mengalihkan pengajaran supaya menjadi profesion pilihan. Bagi melaksanakannya, kita perlu meningkatkan kualiti profesion perguruan supaya dapat menghasilkan guru-guru yang cemerlang.

“Kita mahu jadikan profesion perguruan sebagai profesion yang diminati dan menarik perhatian ramai pelajar,” katanya.

Menurutnya, bakal-bakal guru baharu sebagai ejen pelaksana utama perlu berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi berlandaskan komitmen, kesungguhan dan kesediaan untuk bekerja dengan tekun dan ikhlas demi membina negara bangsa yang maju untuk tempoh 12 tahun akan datang.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Pelajaran negeri Jame Alip dan Pengarah IPG Kampus Gaya Salmah Abdullah.

Malam tadi, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menghadiri perjumpaan tertutup dengan anggota badan perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO Negeri Sabah. — Bernama