Kepesatan ekonomi bantu bumiputera Sabah: Musa

0

KOTA KINABALU: Kerajaan yakin kepesatan pembangunan dan iklim pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, membantu masyarakat peniaga bumiputera di negeri ini mencapai kejayaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata persaingan dan cabaran dalam dunia perniagaan memerlukan kesungguhan dan komitmen yang berterusan daripada pihak berkenaan.

“Saya penuh optimis, dengan adanya kesungguhan politik, perancangan dan pelaksanaan dasar dan agenda pemerkasaan bumiputera yang pragmatik oleh kerajaan, matlamat murni Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dapat dijayakan untuk kepentingan semua lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pertemuan Khas Bersama Golongan Usahawan Negeri Sabah anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan kerjasama kerajaan negeri yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di sini kelmarin.

Pelancaran Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera katanya, adalah langkah yang tepat dan terbaik bagi membela nasib dan menjamin masa depan masyarakat bumiputera di negara ini.

Katanya, teras dan fokus yang digariskan bagi menjayakan agenda berkenaan jelas menterjemahkan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran semua lapisan rakyat.

“Dalam konteks pencapaian masyarakat bumiputera di Sabah, tidak dapat dinafikan kepesatan pembangunan dan kerancakan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor turut digerakkan oleh para pengusaha dan peniaga bumiputera.

“Ia melibatkan peniaga dari dewan-dewan perniagaan yang menceburkan diri dalam pelbagai sektor industri dan perniagaan.

“Bagaimanapun, masyarakat bumiputera tidak seharusnya berasa cepat berpuas hati dengan tahap pencapaian ini. Sebaliknya, kerajaan negeri menekankan agar program-program pembangunan ekonomi bumiputera perlu terus digerakkan,” katanya.

Musa berkata kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan mengambil kira kepentingan dan pandangan masyarakat termasuklah pemimpin dan ahli-ahli dewan perniagaan.

Sehubungan itu, beliau berpuas hati dan bangga dengan komitmen, peranan dan sumbangan dewan-dewan perniagaan bagi memacu kemajuan dan pembangunan ekonomi dan perniagaan di negeri ini.

Selain itu katanya, hubungan baik dan jalinan kerjasama serta perkongsian pintar perlu ditingkatkan bukan sahaja dalam kalangan sesama ahli, tetapi dengan dewan-dewan perniagaan bumiputera yang lain.