Kupon RM100 dijanji Lajim Ukin tidak dapat ditunaikan

0

Calon BN dakwa berlaku rasuah semasa kempen PRU13

KOTA KINABALU: Seorang pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias memberitahu Mahkamah Pilihan Raya di sini semalam kupon yang diedarkan PKR yang menjanjikan wang RM100, tidak dapat ditunaikan.

Mazlan Janudin, 37, dari Kampung Nukahan, Beaufort, berkata kupon itu mempunyai lambang PKR dan nama pemenang kerusi berkenaan Datuk Lajim Ukin, yang juga bertanding kerusi Parlimen Beaufort dan calon PKR untuk kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk John Ghani.

Menurutnya, kupon itu boleh ditebus untuk mendapatkan wang RM100 jika Lajim memenangi kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas.

Mazlan memberitahu Hakim Datuk Yew Jen Kie bahawa beliau ada menghantar SMS kepada Lajim untuk menuntut wang RM100 dengan kupon itu memandangkan Lajim telah memenangi kerusi DUN Klias.

“Saya pernah menghantar SMS kepada Datuk Lajim pada 3 Jun lepas pada jam  7.18 malam untuk menuntut janji kupon dan juga memohon sumbangan Hari Keluarga Persatuan Belia Kampung Nukahan di mana saya adalah pengerusi.

“Dia (Lajim) jawab pada hari sama pada jam 8.24 malam dan ayatnya berbunyi: Kupon itu tiada sudah. Kita kalah. Tidak dapat tubuh kerajaan. Hari Keluarga itu, (tajaan) sikit-sikit bolehlah,” katanya.

Mazlan berkata beliau mendapat kupon itu daripada sepupunya Awang Ahmad Silim, yang juga Ketua PKR Cawangan Kampung Nukahan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa diberi kupon sahaja, manakala terdapat pengundi diberi kupon bersama wang RM50.

“Mungkin kerana saya berkempen untuk Barisan Nasional (BN). Jadi saya diberi kupon sahaja,” katanya.

Menurut Mazlan, beliau difahamkan kupon itu diberikan kepada pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Beaufort yang merangkumi dua kawasan DUN iaitu Klias dan Kuala Penyu.

Dalam petisyen itu, calon BN Isnin Aliasnih menamakan Lajim, Pengerusi PKR negeri yang memenangi kerusi DUN Klias sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jupari@Jupty Etok sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Bagaimanapun pada 5 Ogos lepas, Yew memutuskan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Klias dikeluarkan daripada senarai responden kerana pempetisyen gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Isnin memfailkan petisyen itu kerana mendakwa berlaku perbuatan rasuah serta penggunaan bahan kempen yang tidak memaparkan nama pencetak semasa kempen pilihan raya di kawasan berkenaan.

Isnin diwakili peguam Jaapar Esteban, Rizuan M Borhan, Saiful Azian Mokhtar dan Muamar Julkarnain manakala Lajim diwakili peguam Datuk Chau Chin Tang dan Datuk Lawrence Thien.

Dalam PRU13 pada 5 Mei lepas, Lajim menang dengan majoriti 179 undi. — Bernama