Pencapaian bumiputera Sabah seiring dengan negeri lain

0

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata kemajuan yang dicapai oleh golongan bumiputera di Sabah seiring dengan kemajuan di negeri-negeri lain.

Katanya, melalui usaha-usaha kerajaan, aspek pembangunan infrastruktur, perumahan dan program menjana pendapatan, taraf hidup penduduk di Sabah khususnya bumiputera mengalami banyak peningkatan.

Menurutnya, purata pendapatan isi rumah di Sabah tahun 2012 meningkat sebanyak 29.4 peratus dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 8.6 peratus daripada RM3,102 sebulan tahun 2009 kepada RM4,013 sebulan.

Selain itu katanya, purata pendapatan bulanan di bandar pula meningkat sebanyak 22.7 peratus daripada RM3,803 tahun 2009 kepada RM4,668 tahun 2012.

“Peningkatan turut berlaku bagi purata pendapatan bulanan di luar bandar iaitu sebanyak 33.8 peratus daripada RM2,177 kepada RM2,913.

“Kadar kemiskinan di Sabah juga terus berkurangan daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus pada 2012.

“Kejayaaan yang diperolehi kerajaan ini dicapai melalui pelaksanaan program khusus untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah menjana pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pertemuan Khas Bersama Golongan Usahawan Negeri Sabah anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan kerjasama kerajaan negeri di sini kelmarin.

Antara program berkenaan termasuklah 1Azam, program pembangunan Agropolitan dan Mini Estet Sejahtera (Mesej), ternakan dan pertanian komersil dan pinjaman kredit mikro.

Muhyiddin berkata sebagai langkah khusus membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan, sebanyak RM293.5 juta diperuntukkan di bawah pelaksanaan program 1Azam kepada negeri Sabah.

“Sehingga Jun tahun ini, seramai 27,540 individu berpendapatan rendah di Sabah dibantu dibawah Program 1Azam sekaligus menjadi negeri penerima terbesar dibawah program berkenaan.

“Tahun ini, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM98 juta untuk membantu hampir 7,500 peserta baru 1Azam di negeri ini.

“Ia termasuklah pemberian insurans perlindungan kepada setiap peserta sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.