Polis rampas pistol angin

0

JAUTEH (tengah) menunjukkan pistol angin yang berjaya dirampas daripada suspek pecah rumah dalam tangkapan-tangkapan berkenaan baru-baru ini.

Juruteknik dalang geng pecah rumah

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan geng pecah rumah yang didalangi seorang juruteknik bangunan dengan tertangkapnya enam lelaki warga tempatan dalam satu serbuan di sebuah bilik Hotel Tang Dynasty, Sepanggar.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 27 September lepas kira-kira jam 4 petang, difahamkan kesemua suspek berada di dalam sebuah bilik hotel berkenaan untuk merancang kegiatan jenayah mereka.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata tangkapan terbabit dilakukan susulan kepada kes pecah rumah berlaku di Taman Risda, Menggatal pada 31 Ogos lalu membabitkan mangsa yang merupakan guru wanita berusia 46 tahun.

“Bertindak atas kejadian itu, polis telah melakukan siasatan menyeluruh dan akhirnya pada 27 September lalu kita telah berjaya mengesan dan menjejaki suspek-suspek di Hotel Tang Dynasty, Sepanggar.

“Dipercayai ketika serbuan, suspek-suspek dikatakan sedang berada di dalam bilik itu untuk merancang kegiatan jenayah pecah rumah di kawasan tertentu namun kita berjaya memberkas mereka,” katanya.

Menurut beliau, susulan daripada tangkapan itu polis berjaya menemui semula beberapa barangan termasuk sepucuk pistol angin dan tiga kelopak peluru hasil daripada pemeriksaan ke atas suspek.

Antara barangan lain adalah termasuk sembilan telefon bimbit, lima jam tangan berjenama dan lapan beg tangan yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah suspek.

“Kita berjaya menemui dan merampas sepucuk pistol angin yang dipercayai diguna oleh suspek untuk menakut-nakutkan mangsa ketika melakukan aktiviti jenayah pecah rumah.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan berusia 19 hingga 26 tahun di mana salah seorang daripada mereka dikenalpasti sebagai dalang dan bekerja sebagai juruteknik bangunan di pusat bandar,” katanya sambil menambah, kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata hasil siasatan polis juga mendapati kesemua suspek dikatakan ‘pakar’ mengumpil jeriji besi dan pagar berdasarkan modus operandi mereka ke atas rumah-rumah mangsa yang dipecah masuk.

Sementara itu, dengan tertangkapnya kesemua suspek, beliau berkata pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes membabitkan kumpulan berkenaan di sekitar Menggatal dan pusat bandar sejak 7 Ogos lepas.

“Anggaran kerugian mangsa dalam ketiga-tiga kejadian pecah rumah itu adalah mencecah RM65,000 dan sebaik pemeriksaan dilakukan, polis berjaya menemui sebahagian daripada jumlah wang iaitu RM15,000 daripada suspek.

“Kesemua suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 setelah kegagalan mereka melepasi ujian air kencing sebaik tangkapan itu,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu kelmarin.