Harus diperkenal melalui pelbagai acara unik selain kepelbagaian budaya untuk menarik pelawat LONG LAMA: Pelan pembangunan strategik yang dirancang, diatur dan diusahakan bersama oleh wakil-wakil rakyat dengan sokongan dan kerjasama rakyat di Baram mampu mengubah pekan ini menjadi sebuah pekan lebih maju dan membangun.
Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata walaupun kedudukan pekan ini terpencil dan jauh dari Miri mahupun Marudi namun ia mampu dibangunkan jika diperkenalkan melalui pelbagai acara yang unik di samping kepelbagaian budaya yang boleh menjadi tarikan pelawat datang ke sini.
“Saya tahu pekan Long Lama adalah kawasan terpencil di pendalaman, namun saya rasa penduduk pekan ini amat bertuah kerana penempatan mereka terletak berhampiran sungai terbesar di bahagian Miri iaitu Sungai Baram.
“Ini bermakna selain Pesta Sukan Air Long Lama sebagai atur cara ‘trade mark’ pekan ini, adalah diharapkan menerusi penganjuran ini dapat menjadikan Long Lama kawasan tumpuan pelbagai acara sukan air pada masa akan datang sebagaimana Marudi yang sinonim dengan Regata Baram,” katanya pada majlis pelancaran Pesta Sukan Air Long Lama di sini, Sabtu lalu.
Katanya dengan perancangan dan visi yang jelas, pekan Long Lama akan bertambah makmur pada masa akan datang serta mencapai sasaran diingini dengan pelan pembangunan strategik yang diatur serta diusahakan bersama wakil rakyat tempatan dan penduduk daerah Baram.
Mengenai penganjuran Pesta Sukan Air Long Lama tahum ini, Mawan yang juga penaung jawatankuasa penganjur berharap penganjuran pesta itu dapat menyediakan ruang interaksi sosial kepada masyarakat pelbagai kaum, budaya, agama, umur, status gender, ideologi dan cara hidup dari luar Telang Usan.
“Ini kerana dengan adanya interaksi sebegini, pelbagai pengalaman serta makluman di pelbagai peringkat masyarakat di negeri ini akan dapat dialami sendiri termasuk gaya hidup unik penduduk di sini terutama di Telang Usan,” ujarnya.
Menurut Mawan, penganjuran pelbagai aktiviti sukan air di sini dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat kerja berpasukan, memupuk persaingan sihat selain menggalakkan pemikiran positif dan budaya meminati sukan melalui perlumbaan dan pertandingan.
Malah, beliau berharap penganjuran pesta ini dapat membantu mewujudkan peluang meningkatkan taraf ekonomoi penduduk sekitar melalui penyertaan mereka dalam gerai-gerai jualan.
“Premis perniagaan juga berpeluang meningkatkan pendapatan masing-masing selama penganjuran pesta ini berlangsung.
“Inilah objektif pengelolaan pesta ini selain menyediakan bentuk hiburan bersesuaian dengan senario tempatan,” katanya.
Pesta Sukan Air Long Lama dianjurkan dua tahun sekali berjaya menarik lebih 6,000 orang yang membanjiri pekan ini dalam tempoh tiga hari pesta tersebut berlangsung menyaksikan pelbagai perlumbaan perahu dan bot laju.
Hadir sama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Affandi Keli, Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong serta ADUN Telang Usan yang juga pengerusi pengelola Dennis Ngau.